Sabtu, 28 November 2015

IS: Pemuda Pas saran Amanah cari modal lain


Ir Khairil Nizam Khiruddin
Ir Khairil Nizam Khiruddin - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


PETALING JAYA - Pemuda Pas menyarankan agar Parti Amanah Negara (Amanah) mencari isu lain untuk dijadikan modal daripada mengaitkan parti Islam itu dengan gerakan pengganas, IS untuk meraih sokongan.

Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khiruddin berkata, tuduhan yang dilemparkan ke atas Pas itu langsung tidak berasas dan ia hanya dilakukan oleh orang-orang yang terdesak.

"Tuduhan ini tidak berasas. Ini adalah perbuatan orang terdesak untuk meraih undi dan mendapat ahli kepada partinya yang baharu.

"Cadangan saya carilah modal lain sebelum nak buat kenyataan seperti itu yang nak menukarkan sokongan rakyat yang sekarang ini semakin bertambah kepada Pas," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas majlis perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di sini, semalam.

Sebelum ini, Amanah dilaporkan melahirkan kebimbangannya terhadap serangan yang dilakukan oleh Pas kepada partinya dan didakwa tindakan itu tidak jauh berbeza dengan fahaman IS.

Menurut Khairil, Pas sudah lama difitnah sejak peristiwa Mamali sehingga hari ini dan beliau yakin fitnah terbaharu ini tidak akan bertahan lama.

"Sudah lama kami kena fitnah. Alhamdulillah kami tetap konsisten dan semakin diterima rakyat.

"Kami yakin fitnah-fitnah ini tidak bertahan lama dan tukang fitnah ini pun tidak lama dalam politik," katanya.

Memetik laporan Antarapos, bekas pemimpin Pas yang kini menyertai Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, serangan yang dilakukan oleh Pas kepada Amanah ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan mereka menubuhkan wadah politik baru itu boleh mencambahkan budaya ekstremisme dan terrorisme yang taksub terhadap sesuatu ideologi.

Beliau mendakwa kegiatan ini tidak jauh berbeza dengan fahaman anggota-anggota militan IS yang menganggap mereka sahaja yang betul.

Dalam pada itu, Khairil menasihatkan Pemuda-Pemuda Pas dan penyokongnya agar menjauhi emosi ketika berdepan dengan sebarang fitnah.

"Sifat anak-anak muda memang kena melenting. Itu kekuatan anak muda. Tapi melenting kita ini, melenting yang berasas. Jika ada energi nak melenting, alirkan kekuatan nak marah itu dengan buat kerja di bawah.

"Cari lebih ramai anak-anak muda, kaderkan dan daftarkan mereka untuk pilihanraya kemudian rapatkan mereka dengan Islam. Insya-ALLAH selepas itu ALLAH akan berikan kemenangan kepada Pas," katanya.


Tiada ulasan: