Bantah TPPA menyifatkan perlindungan yang diberikan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) masih tidak mencukupi dan hanya lebih menjaga kepentingan pelabur asing. Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mahshar berkata, kedaulatan negara dalam bahaya jika Putrajaya meneruskan juga perjanjian kontroversi itu.
"Kita akan letak negara tidak dapat mempertahankan undang-undang sendiri dan kedaulatan kita direndahkan," kata Nizam semasa sesi pembentangan mengenai Bab Pelaburan dalam TPPA di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam sesi pembentangan hari ini, Bantah TPPA mendedahkan beberapa kelemahan terdapat dalam Bab Pelaburan yang sudah selesai dibincangkan antara kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).
Dalam isu aliran modal, kerajaan Malaysia tidak dibenarkan menggunakan polisi lain, sebagai contoh tidak boleh mengambil langkah pencegahan ketidakstabilan gelembung aset, kata Bantah TPPA.
"Perlu kita ingat semasa krisis kewangan 1997, kita mengambil langkah mengawal gelembung aset, tapi apabila kita menandatangani TPPA kita tidak boleh ambil langkah sedemikian," kata pengerusi bersama Bantah TPPA, Azlan Awang.
Lebih membimbangkan lagi apabila ISDS akan mengambil kuasa bank pusat dalam menentukan bila perlindungan ke atas kawalan modal dapat dilaksanakan.
Selain itu, beberapa perkara dalam Bab Pelaburan seperti isu bumiputera dan syarikat tembakau juga masih samar dan gagal melindungi kepentingan negara kerana masih terdapat ruang untuk kerajaan diheret ke tribunal.
Azlan berkata secara keseluruhannya, TPPA dilihat lebih menumpukan kepada kepentingan pelabur dan bukannya kedaulatan negara.
"TPPA ini dilihat lebih 'investor centric' (pentingkan pelabur), bukannya untuk membangunkan sesebuah negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan