Isnin, 30 November 2015

Dr Mahathir ramal Umno kalah PRU14

THE MALAYSIAN INSIDER

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 November, 2015. 
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
 
Kecenderungan Umno yang dilihat mendukung presiden Datuk Seri Najib Razak dan melupakan perjuangan agama, bangsa dan negara akan menyebabkan mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramal Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
 Bekas perdana menteri itu membuat ramalan dalam satu surat terbuka kepada pemimpin dan ahli akar umbi Umno yang disiarkan menerusi blog popularnya www.chedet.cc.

"Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Barisan Nasional (BN) dan Umno akan menjadi parti pembangkang.

"Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat Umno untuk bangsa, negara dan agama," tulis bekas presiden Umno itu. 
 
 Beliau turut mengulangi gesaannya sebelum ini agar Umno menolak Najib jika mahu parti itu kekal memerintah negara selepas PRU14.

"Sebaliknya, jika Najib berhenti daripada menjadi presiden Umno dan perdana menteri, besar kemungkinan Umno akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14.

"Dengan itu bangsa, negara dan agama akan lebih selamat. Negara akan maju semula dan semua rakyat akan dapat nikmat," katanya.

Gesaan ini merupakan siri terbaharu dalam asakan berterusan personaliti Umno yang tidak lagi sebulu dengan Najib.

Selain Dr Mahathir, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal yang disingkir Najib daripada Kabinet terus mengkritik pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib


Tiada ulasan: