Ahli-ahli Parlimen yang berada di dalam Amanah
sebelum ini bertanding menggunakan tiket dari parti Pas pada Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU ke-13).
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat untuk melahirkan ‘anak sulung’ nya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, parti itu berhasrat untuk meletakkan calonnya sendiri di dalam PRN Sarawak yang dijadual berlaku pada bila-bila masa.
Hal ini kerana, ahli-ahli Parlimen yang berada di dalam Amanah bertanding menggunakan tiket parti Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU ke-13).
“PRN Sarawak dijangka berlaku pada bila-bila masa. Bila diumumkan, Amanah akan cuba bertanding di Sarawak.
“Yang ada sekarang ini, orang kata anak tumpang,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan Wisma Amanah Negara di Jalan Ipoh pada petang Sabtu.
Namun, Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mad Sabu menjelaskan bahawa sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan mengenai pilihan raya di Semenanjung.
“Di Semenanjung, kita belum bincang lagi. Kerana dalam tiga bulan pertama ini kita hanya tumpu soal pendaftaran ahli dalam parti,” katanya.
Mad Sabu juga menyatakan sehingga kini Amanah masih belum berbincang mengenai gesaan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang menyarankan agar pertandingan satu lawan satu dan pertikaian di antara gabungan dari Pakatan Harapan (PH) itu perlu diselesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan