Rabu, 4 November 2015

Khalid Jamin Pegawai Terlibat Akan Dikenakan Tindakan

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan pegawai yang mengakibatkan kematian tahanan berusia 25 tahun pada 2014 akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Ia susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mendapati berlaku tindakan kekerasan fizikal oleh pegawai bertugas yang menyebabkan kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur di Balai Polis Sungai Renggit pada 3 November tahun lalu.

Laporan itu juga mendapati adanya cubaan pihak polis untuk menjejaskan bukti dengan membersihkan lokasi kejadian, melindungi saksi, menutup darah Syed Mohd Azlan dengan alas kaki getah dan permaidani.

Menerusi kenyataannya, Khalid berkata, Bukit Aman sedia maklum penemuan EAIC dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

Keputusannya akan dirujuk kepada Peguam Negara dan Khalid turut berjanji tindakan setimpal akan dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab.

"Kami tidak mengamalkan tindakan melindungi mana-mana anggota atau pegawai polis yang bertanggungjawab melakukan jenayah," katanya.

Syed Mohd Azlan dilaporkan meninggalkan kediamannya di Teluk Ramunia pada 9 malam sehari sebelum kematiannya untuk membeli seluar.

Beberapa jam kemudian, bapanya, Syed Mohamed Nur Ali dikejutkan dengan ketukan pintu oleh anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di rumah itu tanpa sebarang penjelasan.

Bapa mangsa juga mendakwa, polis juga meminta ubat penyakit asma untuk anak lelakinya itu walaupun keluarga itu memberitahu Syed Mohd Azlan tidak pernah menghidap penyakit itu.

Keluarga itu hanya dimaklumkan mengenai kematian Syed Mohd Azlan pada hari berikutnya.
Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Laporan EAIC mendapati adanya kekerasan fizikal semasa siasatan dengan 61 kecederaan berbeza dikesan pada seluruh tubuh tahanan itu.

Peguam keluarga Syed Mohd Azlan, Gobind Singh Deo bagaimanapun meminta Khalid meletak jawatan susulan kejadian itu.

"Ia laporan yang memalukan kerana memberi kesan kepada pasukan polis. Laporan seumpama ini sudah cukup untuk meminta Ketua Polis Negara meletak jawatan," katanya di Parlimen minggu ini.

Tiada ulasan: