Anne Muhammad
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seharusnya melakukan transformasi parlimen terlebih dahulu bagi membolehkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat.
"Sudah sampai masanya, parlimen yang dikatakan hendak melakukan transformasi, speaker seharusnya mengambil kira perkara seumpama ini (usul undi tidak percaya) supaya parlimen dilihat benar-benar mengamalkan demokrasi serta mempunyai integriti.
"Sekarang dan akan datang tidak kira siapa jadi perdana menteri, bila ada usul undi tidak percaya hendaklah dikira sebagai agenda utama parlimen," kata Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.
Pemimpin kumpulan pendesak Melayu itu berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur petang ini.
Ibrahim berkata, cadangan itu diberikan bukan bermaksud beliau bersetuju Najib ditukar sebaliknya bercakap atas dasar prosedur parlimen.
"(Bukan saya bercakap) soal setuju atau tidak bersetuju (Najib ditukar) tetapi yang penting bukan sahaja usul undi tidak percaya…
“Tetapi apa sahaja usul yang dikira penting dibawa pembangkang harus diberi keutamaan, bagi memastikan institusi ini benar-benar dilihat berwibawa," katanya.
Najib hari ini hanya tersenyum ketika berdepan soalan berkaitan usul undi tidak percaya yang dikemukakan padanya.
Beliau memberikan reaksi itu ketika ditanya sama ada beliau bimbang terhadap usul yang dibuat terhadapnya itu oleh Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) susulan wang RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaun peribadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan