Khamis, 29 Oktober 2015

CEO GMM: Pelantikan Nasharudin tidak jejaskan Pas

Takiyuddin Hassan


KUALA LUMPUR - Pas tidak terkejut dengan pelantikan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Nasharudin tidak memberi kesan kepada Pas kerana bekas Ahli Parlimen Yan itu hanyalah ahli biasa parti Islam itu.

"Dia nampak lebih dekat di sebelah sana (kerajaan), kita tiada komen, sebab tidak berbaloi untuk kita risau, dia hanya seorang ahli biasa Pas.

"Kita biarkan dia apa saja yang dia nak sertai," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Pelantikan Nasharudin sebagai CEO Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR, baru-baru ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Nasha ketuai GMM, ganti Saifuddin]

Pengerusi GMM, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata, dengan pelantikan Nasharudin berkuatkuasa 1 November, beliau yakin gerakan itu mampu meneruskan usahanya menggalakkan kesederhanaan sebagai satu pendekatan dalam pembentukan dasar luar dan dalam negara ini.

Sebelum ini, Nasharudin giat menyokong usaha penubuhan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengucapkan tahniah pelantikan itu sambil mengingatkan Nasharudin menjadi seorang yang sederhana dan moderat.

"Saya ucapkan tahniah, saya harap dia betul-betul boleh jadi sederhana dan moderat seperti Datuk Saifuddin," katanya lagi.


Tiada ulasan: