Khamis, 29 Oktober 2015

1MDB: Lagi soalan untuk Najib

1MDB: Lagi soalan untuk Najib
Wong Chen
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen hari ini meminta maklum balas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak  sama ada kementeriannya akan memfailkan aduan rasmi terhadap syarikat DuSable Capital Management LLC (DuSable) sekiranya memang tiada kerjasama terjalin antara 1MDB dengan firma itu.

Menurutnya, berdasarkan laporan media antarabangsa, Bloomberg, DuSable telah mengesahkan kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) bahawa syarikat itu telah menjalin kerjasama dengan 1MDB bagi membangun, memberi dana dan membina loji tenaga solar dengan kapasiti 50 megawat (mw) di Malaysia.

"Kita semua tahu projek loji tenaga 50mw di Malaysia itu di Kedah. Jadi, berdasarkan laman web Jabatan Keadilan AS, tiada kemaskini terbaharu sehingga hari ini mengenai status 1MDB dengan DuSable.

"Jawapan yang saya dapat semalam sangat pendek dan jika begitu, saya pasti PM menyatakan kebenaran...saya ada dua lagi soalan untuk beliau," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam menjawab soalan Wong Chen, Najib menafikan wujudnya sebarang kerjasama antara 1MDB dengan DuSable di Kedah dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

"Tuan Yang Dipertua, 1MDB tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian usahama dengan syarikat DuSable Capital Management LLC di Kedah," katanya.

Dalam sidang media sama, Wong Chen membangkitkan soal kesediaan Najib untuk mendedahkan sebarang urusan 1MDB dengan DuSable sebelum 26 September 2013.

"Dan berapa jumlah pelaburan yang 1MDB rancang pada awalnya dipertimbangkan untuk dilabur kepada DuSable? Adakah nilainya seperti yang dilaporkan Bloomberg iaitu antara AS$500 juta hingga AS$1 bilion iaitu nilai yang dicari DuSable?

"Jika tiada sebarang kerjasama antara DuSable dan 1MDB, adakah menteri akan failkan aduan kepada Jabatan Keadilan AS terhadap DuSable?" soalnya lagi.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan pada 10 Oktober 2013 firma ekuiti swasta itu sedang mencari dana sebanyak AS$500 juta hingga AS$1 bilion untuk pelaburan bagi projek tenaga.

Pada 26 September 2013 pula, DuSable mengeluarkan kenyataan kepada Jabatan Keadilan AS bahawa firma itu akan menjadi penasihat pelaburan kepada dana ekuiti swasta di mana 1MDB menjadi rakan kongsi terhad.

"Ini bermakna 1MDB akan menjadi pelabur kepada projek DuSable," kata Wong Chen.

Kemudian pada 23 April tahun lalu, DuSable mengeluarkan satu lagi kenyataan untuk menjelaskan bahawa 1MDB bukan pelabur kepada firma itu sebaliknya telah menjalin kerjasama bagi membangun, memberi dana dan membina loji tenaga suria 50mw di Malaysia.

Tiada ulasan: