Rabu, 28 Oktober 2015

Pakatan Harapan: Kenyataan Azmin tepat, kata Pas

Abu Bakar Abdullah
Abu Bakar Abdullah


KUALA TERENGGANU – Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang tidak bersetuju dengan pembentukan Pakatan Harapan di Selangor adalah sebagai tepat.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah berkata, tindakan Mohamed Azmin itu boleh mengekalkan kerjasama dalam pasukan sedia ada khususnya yang dibentuk sejak awal melalui gabungan PR.

“Kerajaan Selangor yang ada sekarang ini adalah gabungan antara tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP yang dahulunya adalah PR sedangkan Pakatan Harapan tidak melibatkan tiga parti ini,” katanya di sini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menyatakan tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebab senario politik di kedua-dua negeri berbeza.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, mesyuarat majlis tertinggi PKR dua minggu lepas telah pun meluluskan resolusi untuk terus bekerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk di Sabah dan Sarawak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak perlu bentuk Pakatan Harapan di Sgor]

Sehubungan itu, Abu Bakar berpandangan, tiada keperluan untuk membentuk Pakatan Harapan dan melihat Mohamed Azmin mengambil kira pakatan lama bagi melicinkan urusan pentadbiran di peringkat negeri.

Dalam masa sama, beliau memberitahu walaupun Kerajaan Selangor melibatkan kerjasama PAS, PKR dan DAP, namun secara dasarnya Pas tetap konsisten meneruskan kerjasama politik hanya dengan PKR sahaja.

“Kita menyokong Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang ini kerana ia dibentuk atas nama kerajaan pakatan dahulu walaupun bagi Pas pakatan yang ada sekarang ini hanya melibatkan Pas dan PKR,” katanya.

Melihat kepada perkembangan di Selangor, beliau menjelaskan bahawa dasar Pas yang telah memutuskan hubungan dengan DAP tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap kerjasama antara ahli-ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) Selangor itu dan berharap ia berkekalan sehingga penggal ini berakhir.

Dalam masa sama, beliau turut berharap pakatan pembangkang masih mampu mengekalkan kerajaan di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.


Tiada ulasan: