Rabu, 28 Oktober 2015

Keluarga bekas penasihat undang-undang kerabat Johor tuntut hak ikat jamin



Bekas penasihat undang-undang keluarga diraja Johor, Kamal Hisham Jaafar ditahan sebanyak 5 kali tanpa dibenarkan mendapat hak ikat jamin walaupun masih belum terbukti bersalah. – Gambar Facebook, 28 Oktober, 2015.Bekas penasihat undang-undang keluarga diraja Johor, Kamal Hisham Jaafar ditahan sebanyak 5 kali tanpa dibenarkan mendapat hak ikat jamin walaupun masih belum terbukti bersalah. – Gambar Facebook.
 
 
Ahli keluarga kepada bekas penasihat undang-undang keluarga diraja Johor, Kamal Hisham Jaafar, menyerahkan memorandum di Parlimen hari ini, menuntut hak mendapat ikat jamin memandangkan beliau masih belum terbukti bersalah kerana menjadi suspek dalam satu kes jenayah pecah amanah.
 
Adik Kamal, Norlizan mempersoalkan penafian hak tersebut dan mendakwa tindakan pihak berkuasa ke atas abangnya itu jelas melampaui hak asasi manusia.

"Abang saya ditahan pada 2 September di Singapura oleh pihak berkuasa yang mendakwa mereka Interpol.

"Dan semenjak 2 September, dihadapkan di Mahkamah Seksyen Johor Baru dan sepanjang proses itu, ditahan 5 kali dengan wang ikat jamin terkumpul sebanyak RM700,000. 
 
 "Meskipun sepanjang tempoh penahanan dan perintah mahkamah, wang ikat jamin dibayar, namun beliau tetap ditahan," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Norlizan berkata, kali ke-5 abangnya ditahan ialah pada 15 September lalu, mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Katanya, kesemua tuduhan ke atas Kamal adalah berhubung kes pecah amanah melibatkan syarikat Southern Ads Sdn Bhd.

Kamal didakwa dengan 2 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Jenayah dan 4 Pertuduhan mengikut Seksyen 131 dan 132 Akta Syarikat 1965.

Kamal, seorang peguam yang memiliki firma guamannya sendiri, dikenali antara yang paling lantang mengkritik Istana Johor.

Pada masa sama, Norlizan juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa Johor yang menggari tangan abangnya meskipun belum dibuktikan bersalah.

Malah, pengurus syarikat itu mendakwa abangnya juga dibotakkan oleh pihak penjara tanpa diberi alasan kukuh.

"Saya rasa, seperti ada campur tangan ghaib dalam kes abang saya. Beliau belum dibuktikan bersalah tapi kenapa tangan mesti digari, rambutnya dibotakkan menampakkan beliau ini seorang banduan.

"Apabila kita tanya, mereka memberitahu kita, ada arahan daripada pihak tertinggi. Malah, sebelum ini abang saya menghidap demam denggi, tapi rawatannya dinafikan. Kita minta laporan kesihatan tidak ada," kata Norlizan.

Katanya, pihak berkuasa juga memberi alasan penolakan ikat jamin Kamal atas faktor "melarikan diri" tetapi menegaskan abangnya tidak ada niat berbuat demikian.

"Abang saya langsung tidak mempunyai potensi 'flight risk', pasportnya ditarik pihak berkuasa.
"Apabila kita tanya, mereka menyamakan kes abang saya dengan (bekas ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim," beliau mendakwa.

Norlizan berkata, selain menyerahkan memorandum kepada Parlimen, keluarganya juga menghantar laporan tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana jelas penahanan abangnya melanggari hak asasi manusia.


Tiada ulasan: