Rabu, 28 Oktober 2015

Peluang singkir Najib hampir sifar, kata Pua

Lu Wei Hoong


 


Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menjangkakan adalah sukar bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menolak Bajet 2016 kerana jumlah yang menentangnya tidak mencukupi.

"Bolehkah kita berjaya undi tolak bajet? Saya boleh katakan, peluangnya hampir sifar,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.

"Tiada ahli parlimen BN yang sanggup ambil risiko. Jika mahu berjaya, kita memerlukan (sokongan) 30 atau 35 ahli parlimen BN, "katanya dalam satu forum di Kuala Lumpur, malam semalam.

Katanya, wakil rakyat BN bimbang mereka akan dihukum sekiranya tindakan mereka tidak berjaya menjatuhkan Najib.

Pua yang juga adalah Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai kemungkinan menyingkirkan Najib dengan mengundi menolak bajet yang dibentangkannya, Jumaat lalu.

Buat masa ini, gabungan pembangkang - Pakatan Harapan - yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH mempunyai 72 ahli parlimen.

Walaupun sekiranya semua 14 ahli parlimen PAS bersama-sama dengan wakil PSM Dr Jeyakumar Devaraj dan ahli parlimen bebas Tan Sri Khalid Ibrahim bersama menolak bajet, kumpulan itu masih kekurangan 24 ahli parlimen untuk mencapai majoriti mudah iaitu 112 undi.

Namun Pua berkata, pembangkang masih komited dengan matlamatnya untuk membentangkan usul undi tidak percaya ke atas Najib dan menolak bajet.

Tiada ulasan: