Rabu, 28 Oktober 2015

607,842 peminjam tidak pernah bayar PTPTN

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
 
607,842 peminjam tidak pernah bayar PTPTN
SHAMSUL: Beliau berharap peminjam PTPTN tegar supaya membuat bayaran demi kelangsungan bakal peminjam yang lain. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Sejumlah 607,842 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didapati gagal membuat sebarang bayaran balik pinjaman tersebut.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata keengganan bayaran balik pinjaman itu melibatkan pinjaman kira-kira RM4.9 bilion.

"Jumlah peminjam keseluruhan adalah 2.37 juta orang dengan jumlah keseluruhan RM53.66 bilion sehingga tamat tempoh pembelajaran. Lebih 1.8 juta peminjam sepatutnya sudah mula membuat bayaran balik dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14.65 bilion.

"Kita telah berjaya mengutip sebanyak RM6.71 bilion iaitu 45.8 peratus daripada hampir 1.2 juta iaitu 66 peratus peminjam," katanya di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Shamsul menyuarakan kekecewaanya dengan tindakan sesetengah individu yang bersikap mementingkan diri dalam memberikan sokongan padu kepada PTPTN dalam kempen mengutip semula pinjaman terutama peminjam tegar yang tidak pernah membuat sebarang pembayaran semula sehingga hari ini.

"Oleh itu, tunjuk sokongan terhadap PTPTN untuk membuat penguatkuasaan, mengambil tindakan-tindakan yang telah termaktub dalam Akta PTPTN kerana kita tidak akan melakukan apa-apa kalau ia adalah di luar daripada undang-undang yang ada.

"Jadi bila kita sudah buat penguatkuasaan, alhamdulillah kita berjaya mendapat semula kutipan yang agak tinggi," katanya.

Beliau pada masa sama menafikan dakwaan kononnya pemotongan peruntukan pada Bajet 2016 akan mengurangkan jumlah peminjam dan pinjaman yang diterima.
"Peruntukan dalam bajet tiada kaitan dengan pinjaman yang akan kita bagi. Kita ada peruntukan terutama menerusi kutipan semula pinjaman. Sebab itu saya kata, peminjam perlu membayar semula supaya kita boleh bagi kepada bakal peminjam," katanya.

Justeru, beliau berharap peminjam PTPTN tegar supaya membuat bayaran demi kelangsungan bakal peminjam yang lain 
 
 

Tiada ulasan: