Selasa, 20 Oktober 2015

FOMCA gesa kerajaan perjelas cukai GST terhadap kad prabayar kepada rakyat

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia(FOMCA) menggesa kerajaan untuk memperjelaskan lagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap kad tambah nilai prabayar yang dilaporkan akan kembali kepada harga biasa mulai November ini.
 
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya khuatir jika terdapat caj tersembunyi yang akan dikenakan oleh Syarikat Telekomunikasi (Telco) di dalam perkhidmatan mereka, walaupun dikatakan harga kad berkenaan kembali seperti sebelum pelaksanaan GST.
 
"Cuma kita hendak tahu secara jelas adakah terdapat elemen GST bila kita bayar RM10 memang kita dapat RM10, jadi itu yang kita nak kerajaan perjelaskan.
 
"Kita bimbang mungkin pengguna akan bayar lebih kerana dia berdasarkan pada panggilan bukan kepada pembelian RM10 tapi berdasarkan kepada pembelian ini setiap kali kita guna lagi banyak kita kena bayar GST.
 
"Sebagai contoh setiap kali kita buat panggilan katakan kos panggilan dikenakan caj 10 sen dan daripada 10 sen itu akan dikenakan caj 6% dengan GST begitu juga dengan SMS jadi kemungkinan pengguna akan bayar lebih banyak daripada 60 sen yang kita buat sekarang," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mengatakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit kembali seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 November ini. 
 
Laporan Utusan Malaysia memetik Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, JKDM dilaporkan telah berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dibebankan dengan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.
 
Johari dipetik sebagai berkata, kerajaan juga tidak akan berkrompromi dengan syarikat telekomunikasi (telko) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya sekiranya mereka masih berdegil.
 
Dalam perkembangan lain, Yusof memberitahu bahawa pihaknya sudah kurang menerima aduan mengenai cukai GST daripada pengguna.
 
"Saya tidak tahu sama ada rakyat sudah terima atau tidak GST ini tapi kita boleh membuat tanggapan pelbagai tentang kurangnya aduan itu. 
 
"Penerimaan itu saya rasa agak subjektif sama ada orang sudah mula terima atau tidak GST ini mungkin orang sudah anggap itu kebiasaan dan mungkin mereka terpaksa terima sama ada mereka suka atau tidak mereka terpaksa terima tentang perlaksanaan GST ini," ujarnya.
 
Tambahnya lagi, kerajaan juga sewajarnya memperjelaskan perincian berhubung kutipan daripada hasil cukai itu kepada rakyat sewaktu pembentangan Bajet 2016, Jumaat ini.
 
 

Tiada ulasan: