Rabu, 28 Oktober 2015

Lebih 20.1 juta pengguna internet aktif di Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pengguna aktif  internet gemar untuk melayari media sosial, menonton video, bermain permainan dalam talian, aplikasi berasaskan lokasi, enjin pencari dan perbankan internet. – Gambar  fail  The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2015.Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pengguna aktif internet gemar untuk melayari media sosial, menonton video, bermain permainan dalam talian, aplikasi berasaskan lokasi, enjin pencari dan perbankan internet. – Gambar fail The Malaysian Insider
 
 
 
Bilangan pengguna internet aktif di negara kini melebihi 20.1 juta dengan 16.8 juta daripadanya aktif dalam media sosial, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
 
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata perkembangan itu berdasar kadar penembusan jalur lebar yang mencapai 72.2%, menunjukkan masyarakat di negara ini  menuju ke arah gaya hidup digital.

"Dirumuskan rakyat menggunakan internet untuk melayari media sosial, menonton video, bermain permainan dalam talian, aplikasi berasaskan lokasi, enjin pencari dan perbankan internet," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan berkaitan isu media sosial termasuk dari Datuk Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai dasar dan langkah yang diambil  kementerian bagi memantau dan menangani masalah media sosial yang sangat melampau terhadap kerajaan dan individu atau ahli politik di negara ini. 
 
Mengulas lanjut, Jailani bagaimanapun berkata gaya hidup digital itu bukan semuanya menyumbang kepada unsur negatif dalam budaya masyarakat dan diakui juga akan nilai positifnya.

"Apabila media sosial timbul, masyarakat akan mengatakan suatu kelebihan tetapi pada masa sama ramai pihak ambil kesempatan termasuk menyebarkan fahaman dan kandungan berbentuk fitnah, perkauman, keganasan dan sebagainya," katanya.

Menyedari hakikat  undang-undang yang lebih ketat tidak menjamin penyelesaian menyeluruh kepada masalah penyalahgunaan media sosial, Johari berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  mengambil langkah proaktif menggalakkan pengguna internet mengamalkan kawalan kendiri bagi menangani penyalahgunaan media sosial.

"Bagi mencapai objektif tersebut, SKMM mengambil inisiatif mendidik para pengguna mengenai penggunaan internet secara positif dengan memfokuskan kepada 4 isu utama bagi meningkatkan dan memantapkan kesedaran masyarakat awam mengenai tanggungjawab ketika menggunakan internet di era serba digital ini," katanya.

Beliau berkata pendidikan kepada pengguna internet mengenai 4 isu berkenaan –  penyebaran maklumat palsu, buli siber, tabiat terlebih kongsi maklumat, penipuan kewangan internet mendapat bantuan dan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Malaysia.

Katanya tanggungjawab mengawal penggunaan internet tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan, sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengawal aktiviti anak mereka di internet terutamanya media sosial.

Berhubung kes buli siber pula, Jailani berkata masalah itu antaranya berpunca daripada sikap pengguna yang suka mendedahkan maklumat peribadi mereka terutamanya di laman rangkaian sosial memberi peluang kepada orang yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan maklumat itu untuk tujuan negatif.

Mengulas mengenai 10 kes didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk platform media sosial, katanya kes itu membabitkan 4 blog lucah, 3 emel jelik dan selebihnya masing-masing satu Facebook palsu, laman sesawang lucah dan jelik.

Selain itu, Jailani berkata sebanyak 1,263 laman sesawang disekat akses atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Malaysia sedia ada.

Katanya, daripada jumlah itu, 631 laman sesawang disekat berdasarkan permohonan agensi penguatkuasaan manakala 632 laman disekat bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan hanya satu laman berita asing disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dari Januari hingga September lepas. – Bernama


Tiada ulasan: