Jumaat, 30 Oktober 2015

Bank Negara boleh bertindak ke atas 1MDB tanpa peguam negara, kata G25

THE MALAYSIAN INSIDER



Bank Negara Malaysia ada peruntukan mengambil tindakan sivil ke atas 1MDB kerana engkar arahan memulangkan wang kembali ke Malaysia, menurut sekumpulan moderat Melayu bergelar G25. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2015.Bank Negara Malaysia ada peruntukan mengambil tindakan sivil ke atas 1MDB kerana engkar arahan memulangkan wang kembali ke Malaysia, menurut sekumpulan moderat Melayu bergelar G25. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Bank Negara Malaysia (BNM)  boleh mengambil tindakan sendiri terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas kegagalannya memenuhi arahan bank pusat itu memulangkan sebanyak AS$1.83 billion ke Malaysia, kata kumpulan Melayu moderat yang menggelar diri mereka G25, hari ini.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata tindakan boleh diambil berasingan tanpa peguam negara, menurut Seksyen 239, Akta Perkhidmatan Kewangan.

Mereka turut berkata tindakan sedemikian oleh BNM tidak menjurus pendakwaan, dan oleh itu tidak timbul isu ia cuba mengatasi kuasa peguam negara.

"Apabila Bank Negara mengambil tindakan di bawah Seksyen 239, ia mengambil tindakan sivil, bukan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB. "Keputusan mengenai sesuatu tindakan jenayah hanya boleh dibuat peguam negara.

"Apabila Bank Negara mengambil tindakan sivil terhadap 1MDB di bawah Seksyen 239 kerana tidak mematuhi arahan BNM, ia boleh memohon perintah daripada mahkamah di bawah akta tersebut.

"Misalnya, Bank Negara boleh memohon mahkamah memerintahkan 1MDB membayar AS$1.83 bilion atau, sebaliknya, memohon supaya mahkamah memerintahkan 1MDB membayar bank pusat itu sebarang penalti sivil," kata G25.

Kumpulan itu juga berkata, cara pelucutan jawatan seorang peguam negara atau timbalan pendakwa raya sepatutnya sama dengan pelucutan seorang hakim atau ketua audit.

Julai lalu, Tan Sri Abdul Gani Patail yang berkhidmat sebagai peguam negara selama 13 tahun sejak 2003 dilucutkan jawatannya, ketika masih menganggotai pasukan khas bagi menyiasat syarikat sarat hutang 1MDB, di samping isu "derma" RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Razak.

Gani bersara daripada institusi kehakiman pada Oktober 5, sehari sebelum menyambut hari jadinya yang ke-60, iaitu usia persaraan penjawat awam.

Beliau digantikan dengan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Awal bulan ini, Apandi mengumumkan keputusan Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan ke atas 1MDB kerana membuat pendedahan tidak tepat dalam memohon kebenaran.

Keputusan itu dibuat walaupun selepas menerima rayuan BNM, kerana menurut Apandi, tidak ada bukti lanjut.

Keesokan harinya, BNM memberitahu ia pernah menarik balik 3 kebenaran pelaburan kepada 1MDB di antara 2009 dan 2011 susulan pendedahan tidak tepat, dan memerintahkan syarikat milik kerajaan itu memulangkan wang pelaburan luar negara berjumlah AS$1.83 bilion (RM7.87 bilion).

Pengumuman Apandi menerima kritikan, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar peguam negara kerana cuba berlagak hakim.

Peguam negara, pada 13 Oktober, bagaimanapun berkata tidak ada keperluan mengkaji balik keputusan itu kerana tidak ada bukti baharu


Tiada ulasan: