Rabu, 28 Oktober 2015

LRT beri tambang percuma sebulan

FREE MALAYSIA TODAY
 
Ia membabitkan laluan percubaan dari - Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.


lrt

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad, pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL menawarkan perjalanan percuma sebulan untuk penumpang di laluan empat stesen baharu Ampang Line yang mulai beroperasi Sabtu ini.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata empat stesen terbabit menggunakan perkhidmatan AMY, tren enam gerabak.

Token perjalanan sehala percuma disediakan di Pejabat Khidmat Pelanggan di Stesen LRT Sri Petaling dan di semua empat stesen terbabit – Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.

Penumpang boleh menggunakan MyRapid Cards dan kad transit Touch ‘n Go untuk perjalanan percuma itu.

“Kami menyarankan penggunaan MyRapid Cards untuk keselesaan perjalanan dalam rangkaian kami membabitkan jajaran LRT dan Monorel serta jaringan bas Rapid KL termasuk Bus Rapid Transit – Sunway Line,” kata presiden Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz.

Berikutan proses peningkatan sistem isyarat yang sedang dijalankan, tren baharu akan berhenti di stesen Sri Petaling dan penumpang perlu menukar tren untuk meneruskan perjalanan di jajaran sekarang iaitu laluan Sri Petaling ke Sentul Timur.

Penumpang dari Ampang Line perlu turun di stesen Sri Petaling untuk meneruskan perjalanan ke empat stesen baharu itu.– Bernama

Tiada ulasan: