Khamis, 29 Oktober 2015

Debat: Pemimpin NGO tawar diri jadi moderator

1MDB
1MDB


KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao hari ini menawarkan diri sebagai moderator bagi mengendalikan debat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara Presidennya, Arul Kanda Kandasamy dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Ramesh dalam satu kenyataan kepada Sinar Online berkata, beliau merupakan calon moderator yang sesuai memandangkan pemimpin NGO itu pernah membongkarkan penipuan portal Sarawak Report yang didakwa telah memalsukan dokumen mengenai 1MDB.

"Saya tawarkan diri sebagai moderator sebab saya yang bertanggungjawab bongkarkan kerja-kerja kotor Sarawak Report dalam mengedit dokumen 1MDB.

"Dalam kapasiti saya sebagai wakil NGO, saya mempunyai semua hak dan akan menjadi calon yang sesuai untuk diberikan peluang sebagai moderator dalam perbahasan 1MDB itu nanti," katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Arul dalam satu kenyataan berkata, beliau bersedia menerima cabaran ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu untuk muncul di rancangan temuramah kendalian Tony.

Arul berkata, beliau bersedia untuk menerima sebarang persoalan mengenai syarikat yang diwakilinya itu dengan syarat Tony bersedia untuk melepaskan jawatan dalam PAC.

Terdahulu, Tony menggesa agar Arul menyahut cabaran beliau untuk mengadakan wawancara secara terbuka yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen membincangkan isu 1MDB yang masih belum diperjelaskan.

Dalam pada itu, Ramesh juga berkata, debat tersebut adalah peluang keemasan kepada syarikat milik kerajaan itu untuk membersihkan nama dan membolehkan rakyat Malaysia mengetahui kebenaran.

Sehubungan itu, Ramesh turut menggesa Tony meletakkan jawatan dalam PAC sebelum debat itu boleh diadakan secara terbuka.

"Saya juga menyeru Tony Pua yang juga ahli PAC, meletakkan jawatan daripada kedudukan beliau untuk mengekalkan integriti siasatan PAC dan untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan," katanya lagi.


Tiada ulasan: