KUALA LUMPUR  ,  Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Zaharudin Muhammad yang juga menantu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan perang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.

Yang Dipertua Pas Subang itu melancarkan perang tersebut sebagai tindak balas ke atas Husam yang dikatakan berterusan menyerang pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yaakob.

“Demi Allah! Saya akan lawan Husam selepas ini demi selamatkan Kelantan.

“Cukup saya melihat Kedah dijatuhkan oleh puak-puak Pahrol (Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi) dengan fitnahnya dan saya menyeru rakyat Kelantan bersama-sama mempertahankan Kelantan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.

Dalam pada itu, Husam menjelaskan beliau bersedia mengemukakan hujahnya mengapa Pas kalah di Kedah dalam mana-mana seminar.

Jelasnya, sebahagian darinya pernah dikemukakannya kepada Lajnah Politik Pas Pusat enam atau tujuh bulan sebelum kekalahan itu termeterai.

“Elok benar satu seminar diadakan untuk bedah siasat kekalahan sepenggal, bukan sahaja di Kedah bahkan juga Terengganu.

“Saya menunggu jika ada mana pihak untuk menganjurkan seminar kekalahan Kedah dan Terengganu dan hampir tewasnya Pas di Kelantan 2004, jika Zaharudin dapat dijemput bersama, saya berterima kasih,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.

Zaharudin kemudiannya menjemput Husam untuk hadir ke Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad pada 21 November depan pada jam 10 pagi di bagi berdialog mengenai isu ‘post mortem’ kekalahan Pas di Kedah dan Terengganu.

“Bersama saya ada peguam-peguam dan lebih penting kebenaran juga bersama-sama saya kalau Husam nak bawa ke mahkamah. Silakan,” tegasnya.