Pakatan Badan Bukan Kerajaan Pro Barisan Nasional (NGO PRO BN) membidas Ahli Parlimen Pandan daripada PKR, Rafizi Ramli kerana didakwanya mempolitikkan keputusan kerajaan persekutuan membina Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM29.2 bilion menghubungkan Sabah dan Sarawak.
Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata Rafizi sepatutnya memberi sokongan penuh kepada pembinaan lebuh raya berkenaan kerana kemudahan seperti itu sudah begitu lama dinantikan rakyat di kedua-dua negeri yang sama-sama membentuk Malaysia pada 1963.
"Mempolitikkan isu Lebuhraya Pan Borneo adalah jelas satu tindakan kurang cerdik yang dilakukan Rafizi. Sepatutnya YB menyokong pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini dengan tidak membangkitkan sama sekali hubung kait pembinaan lebuh raya ini dengan sokongan majoriti rakyat Sabah dan Sarawak kepada BN sebelum ini.
"Apa sahaja pelan pembangunan yang dirancang dan akan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya menunjukkan kematangan pentadbiran Najib dengan bertindak adil dalam pembangunan khususnya di Sabah dan Sarawak agar ia selari dengan pembangunan di negeri lain di Semenanjung," kata Zulkarnain dalam satu kenyataan semalam.
Zulkarnain mengulas kenyataan Rafizi dalam portal berita yang mendakwa pembinaan lebuh raya berkenaan yang tidak akan mengenakan sebarang bayaran tol adalah bukti Najib lebih mementingkan undi Sabah dan Sarawak serta tidak lagi mengambil berat tentang pengundi di Semenanjung.
Sambil menyifatkan kenyataan Rafizi itu sebagai cuba melaga-lagakan rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, Zulkarnain berkata kenyataan itu juga boleh dianggap penghinaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak kerana seolah-olah rakyat kedua-dua negeri itu sebagai penerima rasuah.
Menurut Zulkarnain, Rafizi sepatutnya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu dengan mengambil kira taraf sosioekonomi penduduk serta pembangunan infrastruktur Sabah dan Sarawak yang masih tertinggal berbanding pembangunan dan kemajuan di Semenanjung.
Katanya sekiranya tol dikenakan ke atas pengguna lebuh raya berkenaan kelak, sudah tentu ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan dapat menikmati kemudahan itu sewajarnya.
Zulkarnain juga berkata tindakan Rafizi mempersoalkan pembinaan lebuh raya tanpa tol berkenaan juga adalah bukti jelas Rafizi dan parti yang diwakilinya tidak peka dan tidak ikhlas dalam memperjuangkan untung nasib rakyat Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Pakatan NGO PRO BN berkenaan mendesak agar Rafizi memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak berikutan kenyataan beliau yang dilihat tidak sensitif dengan perasaan penduduk kedua-dua negeri itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan