Sabtu, 31 Oktober 2015

Sekolah berhak tolak pengawal gagal penuhi syarat

SINAR HARIAN


Nor Jazlan Mohamed
Nor Jazlan Mohamed
 
 
JOHOR BAHRU - Pengurusan sekolah berhak menolak penempatan pengawal keselamatan di sekolah masing-masing jika mendapati pengawal yang dibekalkan syarikat keselamatan kepada mereka, tidak memenuhi syarat ditetapkan polis termasuk melalui proses saringan.
  
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah itu juga semenangnya sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang harus dilakukan guru besar atau pengetua dalam menjamin keselamatan murid-murid dan pelajar sekolah.

"Kita minta guru-guru besar agar lebih prihatin bertanyakan syarikat keselamatan sama ada pengawal yang dihantar ke sekolah mereka adalah pengawal yang ditapis oleh polis atau sebaliknya.

"Nak salahkan syarikat pengawal keselamatan, betul dan saya tidak nafikan.

Tetapi, di sekolah, guru besar juga patut memainkan peranan sebab kalau (maklumat) pengawal tidak dikemukakan kepada polis oleh syarikat itu, polis juga tidak tahu.

"Jadi, ia berbalik semula kepada pengurusan sekolah itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai memberitahu demikian sebagai mengulas kes seorang pengawal keselamatan yang menjadi suspek kes rogol dan bunuh seorang pelajar tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Ahad lepas.

Menurutnya, kementerian pada masa ini sedang meneliti jenis tindakan yang akan diambil terhadap syarikat keselamatan yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

"Mereka telah menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kementerian sehari selepas kejadian.

"Kalau mengikut prosedur, kita akan bagi surat amaran selepas itu kalau berlaku lagi kes, kita akan tarik balik lesen syarikat," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: