Selasa, 27 Oktober 2015

PAS pembangkang yang 'menerang bukan menyerang' - Hadi

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat sejajar dengan peranannya sebagai pembangkang yang 'menerang bukan menyerang', kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"PAS bersedia bertemu dengan kerajaan dan bersemuka dengan siapa sahaja kementerian termasuk Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan-cadangan kita dalam perkara yang kita tidak setuju.
 
"Contohnya GST, PAS tidak setuju GST dan PAS ingin mencadangkan apakah alternatif untuk menampung hasil kerajaan selain daripada GST, kita ada cadangan kita yang kita tidak cukup masa untuk kita bentang di Parlimen termasuklah penurunan nilai mata wang.
 
"Kita ada pendekatan kita bagaimana hendak menaikkan nilai mata wang dan mempertahankan mata wang kita," katanya kepada pemberita di dalam satu sidang media yang diadakan di lobi Parlimen di sini, hari ini.
 
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun meletakkan syarat tertentu dalam keterbukaan parti menjalinkan kerjasama tersebut.
 
"PAS akan terus jadi pembangkang dan PAS tidak akan menyertai kerajaan, PAS akan jadi pembangkang yang menerang bukan menyerang, yang menerang hujah dan tidak menyerang, ini adalah pendekatan yang kita ambil.
 
"Sebarang perubahan yang diambil hendaklah berteraskan kepada Islam yang menjadi dasar dan konsep perjuangan PAS," katanya.
 
"PAS tidak akan menyertai sebarang langkah yang tidak berteraskan kepada Islam dan tidak mencapai matlamat kerana kita tidak mungkin naik bas ekspress yang tidak sampai ke destinasi yang kita hendak pergi.
 
"Lepas itu kena jalan kaki jauh," katanya lagi.
 
Beliau dalam pada itu turut berkata, sebarang kerjasama perlu berlandaskan tatatertib yang sopan.
 
"Kita mahu proses demokrasi yang beradab dan berakhlak dan tidak boleh melupai konsep Raja Berperlembagaan dan dalam masa yang sama mesti memelihara konsep masyarakat bermajmuk.
 
"Oleh kerana itu PAS bukan sahaja bersedia untuk berbahas di Parlimen, dalam masa terhad dan tidak cukup untuk berhujah, PAS mempunyai penyelidik-penyelidik di semua ibu pejabatnya di seluruh negara," katanya

Tiada ulasan: