Sabtu, 31 Oktober 2015

Azmin sebak, persetankan 'suara cemburu'

Shakira Buang

 


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sebak ketika membacakan pembentangan belanjawan 2016 negeri itu hari ini.

Suara Azmin jelas bergetar apabila membacakan ucapan yang menyentuh pengalamannya ketika mentadbir Selangor.

Hari ini genap satu tahun, satu bulan dan lapan hari Azmin diberikan amanah sebagai menteri besar Selangor yang ke-15.

"Dalam tempoh yang berlalu terlalu cepat, saya melalui pelbagai pengalaman. Ada yang manis ada juga yang pahit.

"Namun segala pengalaman ini, mendidik saya untuk tawaduk selain mendorong saya dan pasukan negeri untuk bekerja dan terus bekerja.

"Persetankan suara-suara cemburu dan pengacau kedamaian .Yang pahit itu adalah ubat dan penawar supaya rakyat dan negeri Selangor dan sihat dan bertenaga," katanya ketika pembentangan di Dewan Undangan Negeri.

Ketika diminta mengulas lanjut apakah yang membuatkan beliau begitu sebak, beliau berkata:

“Saya sebak kerana menginsafi tanggungjawab dan amanah yang diberikan,’ katanya ketika ditemui Malaysiakini sebaik sahaja selesai pembentangan bajet 2016.

Belanjawan negeri Selangor pada tahun ini bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli”.


Tiada ulasan: