Khamis, 29 Oktober 2015

Najib saman Liong Sik

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Astro Awan
 
Najib saman Liong Sik
Liong Sik yang merupakan Presiden MCA itu juga mendakwa bahawa beliau terkejut mengapa Najib mengambil masa yang begitu lama untuk memfailkan saman. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan saman terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik kerana didakwa memfitnah beliau.

Menurut sumber dalaman yang dihubungi Astro Awani, Najib telah memfailkan saman fitnah itu pada 27 Oktober melalui tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Notis saman tersebut akan dihantar dalam masa terdekat. Dalam notis saman tersebut, Najib memohon untuk saman umum, ganti rugi teruk dan teladan.

Memetik laporan The Star pada Rabu, Liong Sik berkata beliau "sabar menunggu" untuk tindakan undang-undang daripada Najib susulan kenyataan beliau terhadap Perdana Menteri sebelum ini.

"Saya masih menunggu. saya adalah seorang lelaki yang sangat sabar, jangan tergesa-gesa," ujar Liong Sik.

Liong Sik yang merupakan Presiden MCA itu juga mendakwa bahawa beliau terkejut mengapa Najib mengambil masa yang begitu lama untuk memfailkan saman.

Liong Sik sebelum ini telah menerima surat tuntutan daripada penasihat undang-undang Najib, yang menuduhnya memfitnah.
Surat tersebut menuntut agar beliau menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataan beliau yang berkaitan isu syarikat pelaburan strategik nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) awal Oktober lalu.

Liong Sik bagaimanapun menegaskan pendirian tidak akan menarik balik kenyataannya yang menuntut agar Najib berundur, dan beliau bersedia untuk mempertahankan dirinya di mahkamah. 
 
 
 

Tiada ulasan: