KUALA LUMPUR, Gerakan Harapan Baru (GHB) menyokong penuh usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan memberikan sepenuh kerjasama bagi menjayakan himpunan aman itu pada Ogos nanti.


Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, beliau akan mengerahkan seluruh penyokong dan pendokong pemikiran politik progresif untuk turun bersama rakyat ke perhimpunan itu.

“Himpunan Aman besar-besaran yang akan diadakan adalah nanti adalah bertujuan untuk menghimpun seluruh rakyat yang perihatin kepada nasib mereka untuk mendesak PM Najib letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Mohamad Sabu, beliau mengesa sebuah Kerajaan Peralihan perlu dibentuk selepas Najib meletak jawatan melibatkan semua pihak sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan.

Jelas Mohamad, negara berada dalam keadaan yang sangat gawat dengan berbagai kemelut ekonomi seperti peningkatan hutang isi rumah, bebanan GST, ketidaktelusan dalam urus tadbir kerajaan sehingga memaksa perhimpunan ini dianjurkan.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sekarang masih tidak menafikan wang RM2.67 bilion dimasukkan ke akaun peribadinya dan menimbulkan tanda tanya kepada rakyat dan semua pihak.

Himpunan Aman yang direncana BERSIH itu bakal diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2015 di Dataran Merdeka seperti khabar angin yang tersebar sebelum ini.