MALAYSIAKINI
Banjir lumpur. Dua perkataan mudah disebut rata-rata mangsa apabila
diminta menceritakan bencana banjir besar yang membawa banyak kemusnahan
kepada Kelantan.
Dari mana lumpur itu datang? Lantas mereka percaya lumpur itu dari
kawasan bukit bukau di Ulu Kelantan berikutan banyak kawasan hutan
diterangkan untuk ladang kelapa sawit dan tanaman sayur-sayuran.
Paras
air naik mendadak dan deras, dari mana?. Terpacul dari mulut mereka,
hujan sangat lebat di kawasan Ulu Kelantan dan pengondolan bukit bukau
penyumbang kepada pergerakan arus deras umpama "Tsunami Darat"
menenggelam kawasan rendah dan menghayutkan objek di hadapan 'kepala
air'.
Banjir yang melanda ke semua 10 jajahan di Kelantan itu memaksa lebih 104,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Hujan
lebat berterusan selama 48 jam di kawasan Ulu Kelantan -- Gua Musang
dan Kuala Krai -- menterjemahkan kebimbangan penduduk apabila jajahan
Gua Musang dilanda banjir besar mulai 22 Disember 2014.
Dalam tempoh yang singkat, limpahan air Sungai Galas dengan arus yang
deras menenggelamkan bandar lama Gua Musang dan beberapa kampung
sekitarnya.
Bencana itu melumpuhkan aktiviti di bandar lama Gua Musang dan
kampung-kampung berhampirannya akibat dinaiki air antara dua dan lima
meter, turut menyebabkan berpuluh kenderaan tenggelam.
Balak hentam rumah
Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir begitu besar bukan sahaja
menenggelam banyak rumah tetapi turut menghanyutkan beberapa buah rumah
di hadapan mata mereka.
"Air naik begitu mendadak. Kami bergegas menyelamatkan diri ke kawasan
yang lebih tinggi. Namun ramai yang terperangkap umpama duduk di sebuah
pulau yang di kelilingi air berarus deras. Memang mencemaskan," itu yang
dapat digambarkan oleh seorang penduduk Kampung Lembaga Gua Musang,
Ramli Ibrahim, 55 tahun.
Beliau
melihat pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan
Angkatan Tentera Malaysia, bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang
panik dengan insiden luar biasa itu.
"Kami yakin banjir lumpur "seakan warna teh tarik" dan warnanya sama
dengan tanah bukit, datang bersama air yang menuruni bukit bukau di
kawasan Ulu Kelantan, mungkin banyak tanah runtuh di bukit yang
digondolkan," katanya.
Ramli berkata banyak batang balak hanyut memasuki kampung dan menghentam
rumah penduduk hingga roboh manakala balak yang hanyut mengikut arus
sungai tersangkut di jambatan Sungai Galas, menyekat aliran air dan
meningkatkan kuasa terjahan arus deras ke kawasan daratan.
Seorang lagi mangsa berkongsi pengalamannya, Bidah Abdullah, 65, berkata
belum pernah berlaku dalam sejarah kejadian banjir sebelum ini melanda
begitu kuat sekali hingga turut menghanyutkan rumahnya.
Beliau berkata air memang naik dengan cepat hingga semua barangan
penting juga tidak sempat diselamatkan dan dihanyutkan bersama rumah.
Malapetaka besar
Banjir terburuk yang dianggap malapetaka besar, terus mengganas ke
jajahan Kuala Krai, gabungan air dari tiga sungai iaitu Sungai Lebir,
Sungai Nenggiri dan Sungai Galas bercantum di Kemubu di Kuala Krai,
membentuk Sungai Kelantan -- itulah 'Tsunami Darat' menjadikan sekitar
jajahan itu bagaikan lautan iaitu air naik setinggi tingkat tiga
bangunan Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama.
Limpahan
air deras yang mengganas mulai 22 Disember 2014 bukan sahaja
menghanyutkan banyak rumah malah beratus rumah dan harta benda lain
rosak teruk manakala ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan
tinggi termasuk mendaki bukit.
Sebahagian Hospital Kuala Krai turut dinaiki air dan bandarnya lumpuh
'ditenggelami' banjir dan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik dan
air bersih terputus.
Memeritkan lagi apabila jalan darat yang menghubungkan Kuala Krai-Kota
Bharu terputus ditenggelami banjir menyukarkan penghantaran bantuan
melalui jalan darat.
Penggunaan bot pula menghadapi kesukaran kerana arus deras manakala
cuaca buruk menjadi kekangan kepada helikopter untuk sampai ke lokasi
tertentu, apapun pasukan penyelamat bekerja keras memastikan bantuan
sampai kepada mangsa.
'K Krai bagai diserang garuda'
Wartawan Bernama, Zabidi Ishar yang membuat tinjauan di jajahan Kuala
Krai selepas banjir surut, menggambarkan kawasan itu ibarat diserang
garuda.
Itulah yang dapat digambarkan keadaan kemusnahan teruk di beberapa buah kampung di jajahan itu.
Ia
juga mengingatkan tragedi tsunami yang pernah berlaku di negara ini
pada 2004 apabila melihat kemusnahan teruk yang dialami penduduk di
perkampungan berkenaan.
Dalam tempoh yang sama, jajahan lain iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Kota Bharu dan Jeli teruk akibat banjir.
Seorang peniaga di bandar Kota Bharu, Ayob Salleh, 55, berkata premis
perniagaannya dipenuhi lumpur yang dibawa arus banjir dari Ulu Kelantan.
"Ini kerana kawasan lain yang berhampiran Sungai Golok keadaan air
adalah agak jernih, macam sekitar Bendang Pak Yong di Tumpat yang
dilanda banjir akibat limpahan Sungai Golok, airnya jernih. Kami duduk
atas rumah boleh nampak ikan berenang dalam air," katanya yang tinggal
di Kampung Pauh Sepanjar, Tumpat.
Membalak, tebang hutan skala besar
Mengulas bencana banjir itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Zulhazman Hamzah berkata antara
faktor berlakunya banjir lumpur yang teruk itu ialah penebangan hutan
dalam skala besar di kawasan berbukit di Ulu Kelantan untuk tanaman
kelapa sawit dan sayur-sayuran.
Pembalakan haram juga menyumbang kepada hakisan tanah serta menjadikan sungai cetek dan berlumpur.
Hujan lebat yang berterusan beberapa hari menyebabkan aliran air dari
kawasan tanah tinggi itu terlalu pantas meluru ke sungai-sungai kerana
tiada penahan semulajadi iaitu pokok.
"Apabila tiada pokok untuk memegang tanah maka berlaku runtuhan tanah
dan dibawa bersama arus ke sungai-sungai hingga terjadilah banjir lumpur
dan kalau kita lihat keadaan airnya seperti 'teh tarik' itu menunjukkan
terdapatnya lumpur," katanya.
Dr Zulhazman berpendapat pembukaan tanah untuk pertanian itu menyebabkan
banyak pokok balak ditebang sekaligus tiada lagi 'benteng semulajadi".
Cari untung sahaja
Di tanah tinggi Lojing yang bersempadan dengan Cameron Highlands,
Pahang, pembukaan ladang sayur-sayuran dalam skala besar, telah
menyumbang kepada ancaman hakisan tanah dan banjir.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari UMK mendapati
kawasan pembiakan pelbagai spesies bunga raflesia semakin dihimpit oleh
penanam sayur yang ghairah mencari keuntungan tanpa memikirkan kesannya
terhadap alam sekitar.
"Kita menjalankan penyelidikan serta aktiviti pemuliharaan flora dan
fauna khususnya bunga Rafflesia di kawasan Lojing dan sememangnya kita
tahu keadaan yang berlaku di Lojing," katanya.
Beliau berkata atas permohonan UMK bagi pemuliharaan khazanah alam itu,
kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 404 hektar untuk tujuan
berkenaan, katanya.
Dr Zulhazman menasihati semua pihak harus bersama-sama bertanggungjawab
untuk memelihara hutan khazanah alam semula jadi bagi mengelak
malapetaka besar berulang.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan