THE MALAYSIAN INSIDER
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari
ini memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika ketua pembangkang
itu tersinggung ekoran apa yang didakwa beliau sebagai “satu salah
faham” susulan sidang media yang diadakannya semalam.
"Akibat silap lapor, ia menimbulkan persepsi seperti itu dan jika ia
menyebabkan Anwar tersinggung, saya mohon maaf walaupun saya yakin Anwar
sangat memahami saya," kata Mustafa dalam satu kenyataan kepada The
Malaysian Insider.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan berita bertajuk "Pakatan
lebih kukuh jika Anwar dipenjara, kata PAS" berdasarkan sidang media
Mustafa di ibu pejabat parti.
Dalam laporan itu dinyatakan, PAS menyifatkan sekiranya Anwar gagal
dalam rayuan kes Liwat II dan dihumbankan ke penjara, hubungan Pakatan
Rakyat (PR) akan menjadi lebih kukuh.
Mustafa berkata, semasa penubuhan Barisan Alternatif (BA) sebelum
tertubuhnya PR, Anwar ketika itu berada di penjara dan isterinya Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai PKR.
“Itu bukan sebab (PR berpecah), (malah) lagi kukuh PR. Sebab kita kena bertanggungjawab meneruskan.
“Waktu kita tubuh BA dulu pun Anwar masih di dalam (penjara) tetapi masih jalan,” katanya sebagaimana dilaporkan semalam.
Hari ini, Mustafa berterima kasih kepada kenyataan Datuk Saifudin
Nasution Ismail yang menyedarkannya terdapat laporan yang dibuat
berdasarkan salah faham terhadap kenyataannya.
"Saya tidak pernah mendoakan Anwar masuk penjara. Yang saya doa ialah
keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia ini," kata Mustafa.
Beliau juga berkata, tidak pernah ada niat untuk menafikan peranan dan pengorbanan Anwar dalam memperkukuhkan PR.
"Apa yang saya sebut ialah, apa yang berlaku selama ini yang sewaktu
Anwar masih dalam tahanan, yang mengendalikan PKR ialah Kak Wan dan
pimpinan lain," kata Mustafa, merujuk Dr Wan Azizah.
Bagi Mustafa, Saifudin sebagai bekas setiausaha agung PKR perlu memahami apa yang tersirat dalam hal ini.
Antaranya, ini termasuk pengorbanan seorang pemimpin dan ketidakadilan
yang berlaku ke atas seseorang pemimpin boleh menyemarakkan perjuangan
sebagaimana yang berlaku kepada Anwar pada hujung tahun 90an dahulu.
Ia melahirkan parti Keadilan, BA dan semarakkan perjuangan menentang Barisan Nasional.
"Bukan bererti kita kena musibah maka kita akan jadi menjadi lemah," kata Mustafa.
Sebab itu, katanya, kalau ada persepsi yang menunjukkan beliau setuju Anwar dimasukkan ke dalam penjara, ia tidak benar.
"Saya harap persepsi sebegitu dapat dipadamkan," kata Mustafa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan