SAYA amat tertarik dengan saranan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri agar penguatkuasaan penapisan filem dan drama (radio, televisyen dan pentas) tanah air dimulakan dari skrip.
Beliau memberi cadangan tersebut sebagai rentetan ulasan terhadap insiden peluk dan cium membabitkan artis K-Pop, B1A4 dari Korea Selatan dan gadis Melayu bertudung dalam sebuah konsert di ibu kota, 10 Januari lalu. Katanya, insiden itu jelas membuktikan budaya Melayu dan Islam telah dicerobohi oleh budaya Barat dan Timur.
Menurut Dr Zulkifli, beliau tidak dapat menjangka Lembaga Penapis Filem akan membuat proses penapisan. Tegas beliau, tiada guna jika filem ditapis selepas disiapkan.
Zulkifli mahu filem ditapis dari peringkat pra produksi, iaitu pihak penerbit dan pengarah melalui skrip lagi. Beliau memberi contoh filem Umar Mukhtar: Lion of the Desert, arahan Moustapha Akkad (1981) yang disifatkan mempunyai kandungan baik dan nilai pendidikan yang tinggi.
Katanya, filem yang menampilkan perjuangan rakyat Libya menentang pencerobohan Itali selama 20 tahun itu tidak menimbulkan masalah apabila ditayangkan (cuma anehnya ia diharamkan di Malaysia).
Jadi, isi sesebuah filem perlu menekankan perkara-perkara yang baik dan penting serta perlu ada batasan-batasannya.
Mengenai insiden yang memalukan pada 10 Januari lalu itu, Zulkifli tidak menolak budaya K-Pop menyebabkan golongan remaja hilang kawalan diri serta menjejaskan imej Islam. Masalahnya, kata beliau, kita mengikut mereka sehingga hilang pegangan pada dahan Islam yang kukuh setelah dicerobohi oleh budaya Barat dan Timur.
Tegas Zulkifli, ini bukan budaya Islam. Budaya Melayu yang baik dan salih juga, katanya, telah dicerobohi dari semasa ke semasa.
Namun, tentu lebih menarik jika Zulkifli turut menyentuh soal filem dan drama televisyen Melayu tempatan yang sering memberi gambaran salah terhadap umat Islam yang memakai jubah, serban, berjanggut, berhijab dan berniqab, serta taat pada perintah dan larangan Allah.
Sudah sekian lama watakwatak sedemikian ditampilkan sebagai pelampau agama, suka bertindak liar dan melulu, berfikiran sempit, serta kasar dan ganas. Sangat aneh jika watak yang tidak bertudung serta meninggalkan rukun Islam ditampilkan lebih baik (lemah lembut, sabar, matang dan berfikiran luas) daripada yang menutup aurat, serta mentaati Allah.
Filem dan drama televisyen Melayu tidak hanya ditonton oleh umat Islam. Jika kesongsangan itu yang sering atau berterusan ditampilkan, tanggapan penonton bukan Islam terhadap agama suci kita ini akan serong dan negatif.
Barangkali yang telah ditayangkan tidak dapat diubah lagi. Hanya filem dan drama akan datang yang boleh dibetulkan. Seingat saya, ada enam filem Melayu yang jelas memberi gambaran negatif terhadap watak Islamik, iaitu Fenomena, arahan Aziz M Osman (1990), Selubung (Datin Paduka Shuhaimi Baba/1992), Shakila (Bade Azmi/1992), Perempuan Melayu Terakhir (Erma Fatima/1999), serta Berlari ke Langit (2004) dan Syaitan (2007) yang kedua-duanya arahan Bade.
Saya tidak dapat mengingati dalam drama televisyen kerana terlalu banyak. Bagaimanapun, saranan mufti yang juga pendakwah dan penulis itu boleh dilaksanakan. Tapis setiap skrip filem dan drama sebelum diluluskan, terutama yang berunsur Islam.
Dalam Fenomena, ada adegan sekumpulan lelaki berjubah dan berserban tanpa usul periksa menentang penganjuran konsert mengutip dana untuk pembedahan anak perempuan Azlan (lakonan Dato’ M Nasir).
Sementara watak lelaki berketayap putih dalam Shakila (Dato’ Yusof Haslam) dan Saad dalam Syaitan (Que Haidar) pula garang dan suka memarahi orang lain, serta berasa diri arif semua hal agama Islam.
Perempuan Melayu Terakhir menampilkan adegan Mustika (Vanida Imran) yang “memberi ceramah agama” kepada wanita yang menegurnya menari dalam pakaian mengikut bentuk tubuh.
Dalam Berlari ke Langit pula, Fasha Sandha sebagai Yasmin membidas seorang pemuda yang bertanya mengapa dia berdua-duaan dengan Indra (Dato’ Rosyam Nor) di tepi pantai, sedangkan memang jelas perlakuan tersebut.
Sementara Selubung, Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-10 bersama Bintang Malam memaparkan sekumpulan tabligh yang diketuai oleh Brother (Harith Iskander) yang hanya mementingkan nafsu seks apabila berpoligami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan