OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Peguam Americk
Sidhu mempersoalkan mengapa penganalisis politik Abdul Razak Baginda
melindungi Datuk Seri Najib Razak berhubung kes pembunuhan wanita
Mongolia Altantuya Shaariibuu 9 tahun lalu apabila perdana menteri tidak
pernah terlibat dalam jenayah itu.
Americk yang menyediakan akuan bersumpah yang pertama (SD1) untuk
penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang diupah Razak pada 2006
berkata, Razak terus-terusan mengatakan dalam satu wawancara dengan The
Malaysian Insider baru-baru ini yang Najib tidak bersalah dan
diperlakukan dengan tidak adil.
Dalam temu bual yang disiarkan pada Khamis, Razak memberitahu The
Malaysian Insider semuanya ialah mainan politik dan tiada kaitan antara
Najib dan kematian Altantuya.
Americk berkata, Razak bagaimanapun tidak menerangkan kenapa beliau merasakan Najib perlu dilindungi.
"Tiada siapa yang tuduh Najib terlibat. Bala dalam SD1 beliau tidak
mengatakan Najib mempunyai apa-apa kaitan dengan pembunuhan Altantuya,"
kata Americk dalam satu kenyataan eksklusif kepada The Malaysian
Insider.
Mendiang Bala, seorang bekas anggota polis, berkata dalam SD pertama
beliau yang Razak mengambilnya bekerja pada Jun 2006 untuk menghalang
Altantuya daripada mendekatinya.
Americk berkata apa yang dinyatakan Bala dalam SD itu ialah Razak memberitahunya mengenai penglibatan Najib dengan Altantuya.
(Bala berkata kedua-dua Razak dan Altantuya memberitahunya, Altantuya
pernah menjadi teman wanita Najib. Dakwaan ini terdapat pada perenggan
25 dan 28 dalam SD1.)
Americk berkata Razak masih belum secara khusus menafikan beliau memberitahu Bala perkara ini.
"Bala mengakui sedari awal yang beberapa perkara dalam SD1 beliau
merupakan khabar angin. Jadi, apa tujuannya apabila Razak mengatakan SD
Bala itu khabar angin?" soal Americk.
Katanya, Razak juga mengelak daripada mengatakan mengapa Najib, Datin
Seri Rosmah Mansor, Nazim Razak, peniaga karpet Deepak Jaikishin dan
ramai individu lain merasakan Bala dan keluarganya perlu meninggalkan
negara ini sebaik SD1 itu dikeluarkan.
"Ini tidak benar-benar memberi sebarang kredibiliti kepada penegasan
Razak yang Najib ialah mangsa yang tidak bersalah dalam satu kes tipu
helah politik," kata Americk.
Bala merupakan saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, tetapi
meninggalkan Malaysia dalam tergesa-gesa selepas menandatangani akuan
bersumpah kedua (SD) pada 2008, yang kononnya membersihkan Najib
daripada terlibat dalam kes itu.
Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013,
beberapa minggu selepas pulang ke negara ini setelah 5 tahun memaksa
diri menjadi orang buangan di India.
Americk juga berkata Razak gagal menghargai kesetiaan Bala kepadanya.
Beliau berkata, apabila Bala ditemuramah akhbar di London pada Julai
2010 di Holiday Villas, Bayswater, dia memberitahu pemberita dia
merasakan Razak tiada kaitan dengan pembunuhan itu dan dia tidak
bersalah.
Americk berkata Bala merasakan Razak naif dalam menyangkakan 2 komando polis itu tidak akan membahayakan Altantuya.
"Adakah semua ini mengarut Encik Razak Baginda?" soal Americk, merujuk
kepada wawancara Razak dengan The Malaysian Insider apabila beliau
mengatakan SD Bala mengarut.
Americk juga menyebut tentang satu makan malam di sebuah restoran di
Brickfields pada 13 Oktober 2006, yang diatur Bala supaya Razak boleh
berjumpa seorang yang bernama ASP Suresh yang sepatutnya menguruskan
penangkapan Altantuya.
Tetapi Suresh tidak hadir kerana beliau sendiri ditangkap Badan Pencegah Rasuah (namanya ketika itu) pada malam itu juga.
Ketika makan malam itu, Razak secara khusus memberitahu Bala dia mesti
pastikan Altantuya tidak disakiti walau apa cara sekali pun, kata
Americk.
"Tetapi Razak tidak sedar apa akan terjadi apabila beliau terlibat
dengan Musa Safri dan Azilah. Adakah semua ini mengarut?" soalnya lagi,
merujuk kepada bekas pegawai khas Najib Timbalan Superintenden Musa
Safri dan Ketua Inspektor Azilah Hadri.
Razak ketika wawancara itu tidak membesarkan kes jenayah itu,
mengatakan dia tidak tahu motif pembunuhan kekasihnya Altantuya, tetapi
menyatakan ramai yang mati dalam tahanan polis tanpa sebarang
penjelasan.
Beliau dibebaskan daripada bersubahat dalam pembunuhan tahun 2006 itu
tetapi dua bekas komando polis, Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar,
didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan selepas rayuan pusingan
terakhir bulan ini.
"Hanya 2 anggota polis itu sahaja yang tahu. Polis yang penyangak
memang bunuh orang, seperti dalam kebanyakan kes reman," penganalisis
politik itu memberitahu The Malaysian Insider ketika ditanya pendapatnya
mengenai motif pembunuhan itu.
Azilah sedang berhadapan hukuman mati manakala Sirul melarikan diri ke
Australia. Pihak berkuasa Malaysia sedang memohon agar dia
diekstradisikan.
Keterangan dalam mahkamah mendedahkan wanita Mongolia itu dibunuh sama
ada dengan bahan letupan C4 atau dibunuh terlebih dahulu dan mayatnya
dihapuskan pada 18 Oktober 2006, di pinggir bandar Shah Alam,
berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.
Semasa perbicaraan, Razak yang juga rapat dengan Datuk Seri Najib
Razak, mendapatkan pertolongan Musa kerana tidak tahan dengan gangguan
daripada Altantuya.
Musa pada masa itu merupakan pembantu peribadi Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.
Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan kegagalan memanggil Musa adalah punca kekalahan kes pendakwaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan