Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP bersama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan akan melancarkan inisiatif Impian Kelantan di Dewan Perhimpunan Cina Kota Bharu pada Sabtu 31 Januari jam 9 malam.
Usaha itu adalah sebagai meneruskan semangat sukarelawan rakyat pelbagai kaum dan agama yang telah menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.
DAP melalui inisiatif Impian Malaysia telah berbincang dengan rangkaian NGO di Kelantan yang bersetuju untuk menubuhkan gabungan Impian Kelantan.
Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke yang menjadi konvener kepada gabungan tersebut, Impian Kelantan diwujudkan untuk membantu membina semula kehidupan rakyat negeri itu yang telah musnah akibat banjir.
Katanya, inisiatif itu adalah kerjasama DAP dengan badan-badan amal Kelantan seperti Yayasan Darul Hijrah, Cakna UT, Royalti Kelantan (R), KB Care, Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) dan Unit Amal Kelantan.
“Sukarelawan pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara turut serta dalam Impian Kelantan untuk memulihkan semula keadaan dan juga mengembalikan semangat, kekuatan serta keyakinan rakyat Kelantan yang telah menjadi mangsa bencana alam,” ujar beliau kepada Roketkini.com.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Fasa Pertama Impian Kelantan telah pun dilaksanakan melalui usaha menghantar bantuan makanan dan minuman serta keperluan asas yang lain sejak Disember lalu hingga ke saat ini.
Menurutnya, ribuan rakyat Kelantan, termasuk golongan Orang Asli yang menjadi mangsa, telah dapat dibantu melalui usaha murni ini.
Ujar beliau, Fasa Kedua yang sedang diusahakan dan akan dilancarkan di Kota Bharu pada Sabtu 31 Januari ini adalah usaha membaiki dan membina semula rumah yang telah musnak dek banjir.
Sebagai permulaan, katanya, sekitar 80 rumah di daerah Gua Musang telah dikenal pasti sebagai projek asas untuk pemulihan semula ini. Sebuah lagi kampung di daerah yang sama juga sedang dikenal pasti.
“Orang ramai khususnya warga Kelantan dijemput datang beramai-ramai ke majlis ini,” tambah beliau.
Impian Kelantan mengambil semangat Impian Malaysia yang mahu berkongsi usaha dan bergerak bersama rakyat melalui kegiatan membantu rakyat miskin, menolong mangsa bencana, membina projek prasarana di pedalaman, menyertai program pendidikan dan mengambil bahagian dalam inisiatif mengupayakan anak muda.
Program-program Impian Malaysia yang bermula sejak 2013 dengan pelancaran Impian Sarawak telah banyak mencatatkan kejayaan dan berkembang hingga ke Sabah dan kawasan Orang Asli di Semenanjung. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan