Selasa, 27 Januari 2015

Harap penyokong Anwar, Saiful tidak buat kecoh

SINAR HARIAN


Logo kes Anwar
 
 
KUALA LUMPUR - Polis meminta penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak mencetuskan kekecohan pada hari keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang tersebut terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 10 Februari ini.

Kedua-dua penyokong yang ingin membuat perhimpunan, disaran membuat permohonan mengikut peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim bagaimanapun berkata polis tetap    bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada hari berkenaan.

"Mengenai perhimpunan ini, telah ada cubaan untuk menggerakkannya melalui laman sosial dan untuk itu kekuatan anggota bergantung kepada hasil risikan sama ada perhimpunan berskala besar atau kecil.

"Saya harap perkara ini (perhimpunan) tidak akan berlaku dan saya mohon penyokong Anwar mahupun Mohd Saiful Bukhari Azlan dapat terima sebarang keputusan mahkamah secara rasional," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian dan Penerimaan Bantuan Bencana Banjir Jabatan KDNKA di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah KDN/KA Datuk Amer Awang, Timbalan Pengarah KDN/KA (Pasukan Gerakan Am) Datuk Azman Yusuf dan Komander Briged Utara Datuk Mohammad Nasir Ramli.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb untuk keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu  terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, enam tahun lepas. - Bernama

Tiada ulasan: