MEMANDANGKAN teruknya kemusnahan gara-gara banjir di seluruh negara terutama Kelantan, tidak dapat dibayangkan bagaimana dan berapa lama ia hendak dibangunkan semula khususnya Manek Urai dan Kuala Krai.
Tidak dapat diagak bila mangsa yang musnah rumah itu boleh beroleh rumah tetap semula dan bilakah jalan-jalan yang binasa itu dapat dipulih dan laluan kenderaan lancar semula?
Betapa adanya pengalaman-pengalaman pemaju dan kontraktor bertukar ganti, menyebabkan banyak juga projek yang terbengkalai, payah hendak difikirkan pemulihan kilat akan terlaksana.
Tetapi dengan darjat prihatin dan tanggungjawab yang tinggi para simpatisan dan sukarelawan mangsa banjir, pembangunan kilat akan tumbuh semula dan segera di mana-mana.
Berapa lama perlu menunggu? Moga-moga dalam tiga/empat bulan ini kebanyakan yang tidak berumah akan dapat kediaman tetap dan kebanyakan kediaman yang separuh rosak akan selesa didiami semula.
Saya teringat rumah kayu separuh usia kepunyaan Arshad di Pasir Panjang Lau, Sitiawan terbakar hangus. Rumah itu masih boleh didiam tetapi tidaklah selesa sangat. Arshad pun bukan orang senang untuk membaik pulih rumah kayunya dulu. Kebetulan saya di kampung semasa rumahnya terbakar.
Mangsa itu tinggal sehelai sepinggang. Orang kampung sekaliannya menghulur bantuan apa yang ada membantu Arshad memiliki rumah semula. Sebulan kemudian saya ke situ lagi. Saya dapati Arshad dapat rumah batu di tapak rumah kayunya yang terbakar itu.
Semuanya atas bantuan orang ramai. Saya singgah jumpa Seca dan isteri Ezon. Saya kata padanya, “Untung juga rumah kamu terbakar.
Jika tidak kamu tak dapat rumah batu.” Keluarga itu gelak dan bersyukur atas musibah yang berhikmat itu. Dalam bencana ada juga rahmatnya.
Sekalipun mereka dapat rumah baru dengan mudah tetapi tetap mereka mengambil masa untuk melengkapkan semula peralatan dan keperluan rumah. Adatlah kalau tiada kerugian langsung atas bencana, maka tiadalah dinamakan bencana.
Tapi ia sebuah rumah saja terbakar. Kelantan yang diserang banjir besar itu semua rumah dan semua orang menjadi mangsa.
Maka banyak dan besarlah tindakan yang perlu dibuat oleh kerajaan dan masyarakat prihatin.
Kita tunggu kerja sepadu muafakat antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri bagi membangun dan memulihkan semula kehidupan masyarakat mangsa banjur. Di luar musim banjir pemaju dan kontraktor banyak songeknya. Kerja sebulan jadi dua bulan. Yang setahun jadi dua/ tiga tahun dan ada yang tak siapsiap.
Setahun selepas Perang Teluk yang pertama saya ke Baghdad melalui jalan darat dari Amman, Jordan berbelas belas jam. Semua tahu kota Baghdad itu separuh musnah gara-gara perang itu. Jambatan besar yang menghubungkan dua belah tebing Sungai Furat di tengah Baghdad itu musnah oleh bom Amerika yang tidak bermata.
Tetapi Baghdad yang saya datangi tidak nampak kesan dan bekas kemusnahan perang. Padahal 30 tahun sebelumnya saya ke Jerman. Gara-gara perang dunia kedua 30 tahun sebelum itu negara itu hancur. Saya lihat ada lagi kesan perang Jerman itu. Di Berlin Barat sudah tidak banyak baki kerosakannya, tetapi di Berlin Timur masih penuh dengan keruntuhan.
Di Baghdad tidak banyak lagi, malah tidak berapa ada bangunan runtuh yang belum dibaiki. Seolah- olah tidak ada perang di Iraq setahun lalu. Bagaimana Baghdad begitu cepat menghapuskan kesan perang? Adakah datang jin-jin seperti pada zaman kenabian Nabi Sulaiman a.s. dikerah memulih ba-ngunan runtuh dalan sekelip mata? Selepas ketiadaan Nabi Sulaiman jin-jin tidak dapat dimanfaatkan lagi.
Akan tetapi itulah perkasanya Saddam Hussein yang memerintah Iraq mengikut kehendaknya sendiri. Dia dapat bangunkan semula kota Baghdad dalam masa setahun.
Sebaik saja gencatan senjata dikuatkuasa dan perang ditamatkan, Saddam Hussein dikatakan memanggil para pemaju dan kontraktor yang pernah mendapat faedah pembangunan di Iraq sebelum perang dulu.
Saddam beri kata dua kepada mereka, dia tidak mahu lihat bangunan dan jalan yang runtuh di kota itu. Dengan segala nikmat dan kekayaan yang mereka dapat semasa aman dulu, mereka jangan bertangguh lagi membangunkan semua segala yang runtuh itu sesegera mungkin. Saddam tidak mahu dengar segala kepayahan dan ketiadaan modal bagi memulihkannya.
Dia tahu arahannya mesti siap secepat mungkin. Penduduk lembah Nil telah biasa membina piramid dan lain-lain atas perintah Firaun 5,000 tahun lalu dan di Lembah Furat mereka telah ada pengalaman membina Taman Tergantung di Babylon dan lain-lain, maka mereka tidak memungkiri lagi kemahuan Saddam bagi membersihkan semua kemusnahan di Baghdad.
Jika pada zaman purba yang tiada teknologi moden mereka dapat bangunkan bangunan yang tiada bangsa lain dapat laksanakan, maka tidak payah sangat rakyat Saddam pada zaman penuh teknologi moden membangunkan semula Baghdad.
Saddam tidak menghadapi banyak masalah bagi memulihkan Baghdad. Apakah Perdana Menteri Najib dan Timbalannya Muhyiddin Yasin dapat bangunkan kembali Kelantan dan lain-lain pada zaman pasca banjir ini tanpa bertangguh?
Dapatkah Najib buat apa yang Saddam buat di Baghdad pasca perang teluk dulu? Kita sekarang perlukan pemimpin yang tegas dan berani, bukan yang kejam. Najib tidak perlu contohi kekejaman yang ada pada Saddam, tetapi dia mesti ambil ketegasan dan keberaniannya.
Jangan ambil kesempatan untuk menggunakan peruntukan yang berlebihan bagi membangunkan semua segala yang musnah.
Yang melambat dan memahalkan segala projek selama ini ialah mencari duit yang banyak dari setiap projek yang sepatutnya tidak terlalu mahal. Setiap orang cuba mendapat sebanyak untung.
Jika melambatkan siapa boleh mendatangkan untung tambahan, maka lambatkan siapnya.
Jika yang setahun disiapkan bertahun-tahun, banyaklah masing- masing dapat duit. Sekarang semua orang masih dalam suasana pilu, belas dan insaf atas bencana itu. Semuanya hendak menolong dan membantu mangsa supaya mereka kembali selesa malah lebih baik dari sebelum banjir.
Saudagar Karangkraf telah tambil membuat berbagai rangsangan membantu mangsa dan masyarakat.
Jika orang seperti ini dan yang sesimpati sepertinya diberi kepercayaan membangunkan semula wilayah yang cedera, memanfaatkan peruntukaan yang ada, dengan kepakaran niaga dan usahawan yang ada, kita boleh buat apa yang Saddam buat di Baghdad.
Saudagar seperti itu telah menggunakan kecekapan dan duit yang ada sebaik-baik telah berjaya membangunkan empayar perniagaannya.
Jika dia diberi peluang mengepalai konsortium memulihkan bencana banjir, dipercayai semua ngeri yang jadi mangsa bukan sekadar dapat dipulihkan, bahkan masing-masing boleh dapat nikmat yang lebih baik dari semasa mereka belum jadi mangsa dulu.
Bencana itu ada hikmatnya. Kadang-kadang bagi menyedar yang lalai dan bagi mengubah nasib yang malang. Banjir itu adalah bagi membersihkan semua tentang kelemahan masing-masing.
Semuanya sepatutnya sedar, maka mahu keluar dari kelemahan lama. Jika kerajaan pula dapat menerima ia adalah satu pengajaran kepadanya, maka selepas banjir ini semuanya mahu menebus kelemahan masing-masing.
Bagi yang royalti minyak rakyat Kelantan sejak sekian lama, maka selepas bala itu pulangkanlah duit royalti itu kepada yang hak.
Allah kadang-kadang menurunkan bala bagi yang mencuri royalti. Kerugian dari bencana itu jauh lebih besar dari royalti yang digelapkan. Kerajaan dan pemimpin yang baik ialah mereka yang sedia mencari kesilapan dan kecurangan sendiri. Jangan jadikan bencana itu sebagai peluang untuk meraih sebanyak-banyak untung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan