Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Yang Dipertua Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya
menafikan dirinya dan ahli pertubuhan berkenaan terlibat dalam insiden
'ganas' memecahkan tembok zink sewaktu demonstrasi membantah projek
pembinaan Datum Jelatek, Ahad lalu.
Kata Abu Bakar, kehadiran mereka sewaktu demonstrasi berkenaan hanya
sebagai tanda sokongan moral terhadap penduduk Melayu Taman Keramat yang
ditindas dan hak mereka dinafikan kerajaan negeri, setelah projek
penempatan semula yang dijanjikan pada awalnya bertukar kepada projek
mega bernilai ratusan ribu ringgit yang tidak mampu dimiliki penduduk
tempatan.
Tambah Abu Bakar, ahli pertubuhan berkenaan hanya berdiri jauh daripada
tapak projek selepas beliau selesai memberi sedikit ucapan bersama
Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad.
"Kami sudah katakan bahawa Perkasa akan berada di mana saja jika penindasan dilakukan terhadap bangsa Melayu.
"Saya ke sana pertamanya, saya membantu membela bangsa saya supaya
mereka dapat ditempatkan di situ semula. Saya tak mahu ada tindakan
dilakukan untuk menghalau orang Melayu keluar daripada bandar," katanya
kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri
Besar, Mohamed Azmin Ali , yang memberi bayangan bahawa demonstrasi
semalam turut didalangi oleh 'orang luar'.
Azmin yang ditanya berhubung hal berkenaan semalam juga menyuruh
pemberita memastikan adakah benar peserta demonstrasi itu merupakan
penduduk tempatan.
"(Kalau) dia (Azmin) kata orang luar, tak apalah. Memang saya orang
luar dari kawasan Jelatek itu sendiri. Tapi saya orang dalam Selangor.
Cubit paha kanan, peha kiri pun terasa," ujar Abu Bakar lagi.
Malah tambah beliau, Perkasa adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO)
yang mempunyai prinsip dan bukan sewenang-wenangnya menyertai sesuatu
demonstrasi tanpa melakukan analisa terlebih dahulu.
Sementara itu, Salleh juga menafikan penglibatan Perkasa dalam insiden
rempuhan tapak projek berkenaan, sebaliknya menjelaskan ianya dilakukan
oleh anak muda penduduk setempat.
Secara sinis, Salleh berkata Azmin hanya akan mengenali peserta
demonstrasi jika beliau sendiri turun padang bertemu penduduk semalam.
"Kalau kita tengok gambar-gambar yang diambil, yang bertindak ganas
adalah anak Keramat sendiri. Orang luar tak kan boleh ada semangat macam
itu. Ini semangat anak Keramat yang kawasan mereka diceroboh, dizalimi.
Naik anginlah mereka," kata Salleh.
Ahad lalu, lebih 200 penduduk Taman Keramat mengadakan demonstrasi
membantah projek Datum Jelatek sehingga bertindak menceroboh tapak
projek berkenaan, setelah memorandum dan siri bantahan sebelum ini tidak
dipedulikan kerajaan negeri.
Penduduk mendakwa kerajaan negeri telah mempedayakan mereka kononnya
projek berkenaan merupakan projek penempatan semula, namun ianya
bertukar kepada projek berstatus mega dengan harga satu unit kondominium
bermula dengan RM 700 ribu ringgit.
Kata penduduk lagi, projek berkenaan juga bukanlah khas untuk
Bumiputera sebaliknya ia dijual kepada warganegara asing seperti
Singapura dan China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan