Oleh AFIX REDZUAN
SHAH ALAM- Sejumlah RM4.105 juta
berjaya dikumpulkan hasil sumbangan anak-anak syarikat Negeri Selangor
kepada Kerajaan Negeri bagi bantuan pasca banjir yang melanda negeri di
Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Sumbangan ini diserahkan oleh wakil
syarikat dan badan korporat kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin
Ali di Foyer Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mendahului senarai penumbang
menerusi ketagori Perbadanan dengan masing-masing menyalurkan sumbangan
bernilai RM500,000.
Bagi kategori Anak Syarikat Negeri
Selangor pula, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendahului
senarai penyumbang dengan jumlah RM300,000 diikuti dengan Kumpulan
Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjumlah RM200,000 dan Kumpulan Perangsang
Selangor Berhad bernilai RM100,000.
Bagi kategori Badan Korporat pula, Tanjong Wahyu Sdn Bhd menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM1 juta.
Ini diikuti dengan syarikat Worldwide
Holdings yang memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM400,000 selain
sumbangan berbentuk makanan kering dan lampin pakai buang berjumlah
RM100,000.
Mohamed Azmin dalam ucapannya
menghulurkan ucapan terima kasih kepada semua Anak Syarikat Kerajaan
Negeri Selangor dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi
meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.
Beliau turut merakamkan ucapan
penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut membantu
kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri akan
turut sama menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan
persekolahan kepada mangsa banjir.
Beliau turut menyeru supaya syarikat
pemaju perumahan supaya tampil bekerjasama dengan Kerajaan Selangor
membangunkan semula kawasan kediaman mangsa banjir yang telah musnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan