KOTA BELUD - Kerajaan perlu menimbang pandangan pelbagai pihak sebelum
menggubal rang undang-undang baharu yang menetapkan merotan kanak-kanak
sebagai satu kesalahan jenayah, kata Speaker Dewan Undangan Negeri
Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak.
Beliau berkata, pandangan tersebut perlu diberi perhatian berikutan
pelbagai reaksi daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan pemimpin politik terhadap cadangan memperkenalkan rang undang-undang
baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.
"Yang penting, kerajaan perlu mendengar suara majoriti dengan mengambil
kira pelbagai aspek termasuk sudut agama kerana tokoh agama sudah pun
memberi pandangan terhadap cadangan ini," katanya dalam kenyataan, di
sini, hari ini.
Dua hari lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, merotan kanak-kanak bakal menjadi
satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta
Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat
selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Umno Sabah berkata, kerajaan tidak
boleh terburu-buru memperkenalkan akta berkenaan, sebaliknya perlu
mendapatkan pandangan menyeluruh terlebih dahulu.
Beliau berkata sesuatu perundangan yang hendak diperkenalkan perlu
menjurus ke arah kebaikan dan dalam konteks itu, ia mestilah ditentukan
agar tidak merencatkan institusi kekeluargaan.
"Membina sebuah keluarga bahagia mempunyai pelbagai cara dan kaedah
mengikut amalan institusi kekeluargaan itu sendiri...bagaimana
mendisiplinkan anak masing-masing tanpa melampaui had.
"Begitu pun, kita menentang keras sebarang bentuk penderaan terhadap
anak-anak termasuk dipukul secara fizikal dan didera secara mental,"
katanya.
Salleh berkata kes pasangan suami isteri yang merotan anak mereka di
Sweden, dan dipenjarakan pada tahun lepas, boleh dijadikan iktibar oleh
kementerian berkaitan termasuk melihat kesan pemisahan sementara antara
anak-anak berkenaan dan ibu bapa mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan