Selasa, 3 Jun 2014

Kian Ming bidas Khairy enggan pohon maaf secara terbuka

HARAKAHDAILY 






KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming membidas kedegilan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang enggan memohon maaf secara terbuka berhubung insiden rusuhan Pemuda Umno di ibu pejabat DAP pada 22 Mei lalu, lapor Roketkini.

Khairy menyebut semalam bahawa permohonan maaf kepada Kian Ming melalui pesanan peribadi di twitter sebelum ini sudah memadai.

“Kenyataan Ketua Pemuda Umno itu menunjukkan beliau sememangnya tiada niat jujur untuk memohon maaf di atas insiden di ibu pejabat DAP,” katanya kepada Roketkini.

Kian Ming dalam kenyataannya turut memaklumkan, ‘permohonan maaf’ Khairy itu sebenarnya hanyalah bagi papan tanda DAP yang dirosakkan, bukannya berhubung isu utama – kelakuan tidak bertamadun dan ugutan ahli Pemuda Umno untuk membakar ibu pejabat DAP.

Katanya, kegagalan Khairy untuk memohon maaf, walaupun secara peribadi, berhubung ugutan untuk membakar ibu pejabat DAP dan perlakuan samseng mereka, adalah tidak kena dengan kedudukannya selaku Ketua Pemuda yang selalu berkata-kata hal yang baik baik ketika berhadapan dengan pihak yang lebih ‘liberal’ dan antarabangsa.

"Namun pada masa sama beliau tiada keberanian untuk mengakui dan mengecam perlakuan tidak bertamadun yang dilakukan oleh pemimpin Pemuda di bawahnya sendiri,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, lebih 50 samseng Pemuda Umno merusuh di hadapan ibu pejabat DAP akibat tidak berpuas hati dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer yang menyelar beberapa pemimpin pemuda Umno Pulau Pinang sebagai “celaka” dalam sidang Dun Pulau Pinang.

Ketika insiden itu, mereka mematahkan papan tanda DAP di hadapan pintu masuk, serta mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat parti itu.

Justeru itu, Kian Ming berharap Khairy dapat menunjukkan contoh yang baik selaku pemimpin dengan memohon maaf secara terbuka dan mengecam perlakuan anak-anak buahnya.

“Jika ahli DAP pergi ke ibu pejabat Umno, rosakkan harta benda dan kemudian menghantar surat peribadi kepada Perdana Menteri, adakah itu dapat diterima?

“Jadi, saya kekal dengan pendirian bahawa ia tidak memadai dan Khairy perlu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka. Kita berharap beliau selaku Ketua Pemuda Umno dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak muda,” katanya lagi.

Tiada ulasan: