Ahad, 29 Jun 2014

Tepi Lorong Bawah Jambatan

gelandangan1

Oleh Edry Faizal


‘Seseorang itu miskin kerana malas’ merupakan satu kesimpulan yang pastinya biasa didengar. Kadangkala tanpa cubaan menilai kembali sama ada pernyataan yang menjadi tiang bagi kesimpulan itu kukuh atau rapuh.

Baik di sekolah mahupun di dalam masyarakat, kejayaan dikaitkan dengan kerajinan, kegagalan pula dengan kemalasan. Apabila masyarakat menjadikan kekayaan sebagai simbol kejayaan, kemiskinan akan langsung menggambarkan kegagalan.

Kemudian kejayaan dan kekayaan itu seringkali dipamerkan sebagai usaha individu semata, kegagalan dan kemiskinan juga akan dilihat begitu. Kemiskinan tidak akan dilihat ada kena-mengena dengan sistem ekonomi, politik dan sebagainya, melainkan hal individu itu semata-mata. Lalu secara sedar atau tidak, lebih mudah kemiskinan itu terus dikaitkan dengan kemalasan kerana tumpuannya ialah individu.

Ditambah semakin menjadi-jadi zaman ini, kayu ukur kejayaan sering dikaitkan dalam bentuk pemilikan harta. Mempunyai rumah agam meletakkan seseorang pada kasta lebih tinggi berbanding yang sekadar memiliki pangsapuri.

Yang memiliki pangsapuri tentulah lebih tinggi kastanya berbanding sekadar menyewa. Oleh itu amat mudah untuk menyusup ke fikiran kasta lebih tinggi satu tanggapan, mereka tanpa rumah itu kasta paling bawah dalam sistem kejayaan.

Jika demikian corak fikir masyarakat, di manakah kedudukan kelompok yang bukan saja miskin tetapi juga tiada tempat tinggal, sehingga terpaksa hidup bergelandangan?

Sepertimana masalah kemiskinan, masalah gelandangan ada kerumitan tersendiri. Mengabaikan kerumitan itu menyebabkan mudah membuat kesimpulan kelompok terpinggir itu hanya mengada-ada. Hidup di bawah jambatan atau lorong-lorong kerana malas bekerja, memperbaiki kehidupan dan cuma mengharapkan bantuan.

Tanggapan serong bertunas daripada corak berfikir pukul rata bahawa golongan miskin adalah kelompok pemalas.

Baru-baru ini, tinjauan portal berita The Star memberikan gambaran jelas betapa masalah golongan gelandangan itu pelbagai. Ada yang dihalau keluarga kerana punyai anak di luar pernikahan. Ada disisihkan kerana kecacatan mereka menyebabkan mereka tidak dapat lagi berfungsi di dalam masyarakat.

Ada ditipu dengan janji peluang pekerjaan lebih baik di bandaraya, kemudian menyedari hanya sekadar menjadi buruh murah. Malah turut dikisahkan ramai di kalangan mereka pernah dikecewakan jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk membantu.

Tinjauan juga mendapati tidak sedikit yang mempunyai pekerjaan namun tidak mampu untuk menyewa walaupun sekadar bilik. Terpaksalah hidup gelandangan.

Sekiranya diberikan pilihan, tiada siapa mahu hidup dalam keadaan sedemikian, namun kemiskinan dan penyisihan telah merobohkan pintu-pintu pilihan.

Di saat aktivisme membantu golongan terpinggir itu kian rancak terutamanya di Kuala Lumpur, muncul menteri yang bertanggungjawab menyatakan bantuan makanan kepada golongan gelandangan ini hanya akan membuatkan mereka ‘manja’, atau bahasa lebih kasar ‘naik lemak’.

Kenyataan itu menampakkan gejala-gejala corak fikir yang disebutkan sebelum ini dipukul rata pada golongan gelandangan. Adakah pihak yang bertanggungjawab sudah lelah dengan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka? Apakah makna usaha-usaha baik jika tidak digerakkan dari sikap kebersamaan, empati dan kasih-sayang?

Memberikan gelandangan peluang mengisi perut sungguhpun bersifat jangka pendek, dapat mengurangkan seksa kelaparan dan memberikan harapan bahawa kasih sayang kemanusiaan masih wujud. Harapan seringkali menjadi bius berkesan bagi menghadapi hari-hari yang menekan.

Menganggap sumbangan itu akan menyebabkan gelandangan naik lemak, tidak mahu keluar dari kesempitan hidup menimbulkan pertanyaan. Apakah yang berkata itu pernah merasai kehidupan yang menghimpit?

Apakah kehidupan terpinggir dan tersisih itu bagai syurga sehingga ramai lebih rela kekal begitu? Tidak dinafikan ada sesetengahnya tidak mahu keluar dari kehidupan sedemikian. Namun memukul rata kesemua mereka cenderung kekal begitu hanya kerana sesuap nasi jelas serkap jarang.

Turut membimbangkan apabila menteri mula menyampaikan mesej menggesa semua sumber bantuan NGO-NGO biarlah disalurkan di ‘tempat yang bersesuaian’ dan bukannya di jalanan, terus kepada mangsa. Adakah itu secara halus mengingatkan agar segala sumber bantuan hendaklah melalui badan-badan yang ditetapkan negara, atau ringkasnya, diinstitusikan?

Negara punyai peranan memastikan setiap warga dapat hidup bebas serta dapat mengamalkan hak-hak sebagai anggota masyarakat dengan bermakna. Salah satu cara mencapai hasrat itu adalah dengan membantu keluarkan mereka dari kancah kemiskinan yang mencengkam, melalui pengurusan kebajikan sesuai mengikut keperluan.

Namun tiada sebab negara perlu memonopoli peranan kebajikan. Lebih-lebih lagi di saat ramai semakin skeptis dengan kemampuan pihak pengurusan institusi-institusi negara dalam hal itu.

Sepatutnya masyarakat sivil digalakkan turut serta menyumbang mengikut cara-cara yang mereka rasakan baik, bukan apa yang pemerintah rasakan baik.

Masalah gelandangan atau kemiskinan saling berkait dengan permasalahan ekonomi, kos sara hidup, eksploitasi pekerja, pendapatan, lambakan buruh asing, kecekapan sistem sokongan dan lain-lain.

Seandainya sepiring nasi tidak dapat membawa mereka keluar terus dari permasalahan, sudah tentu sepiring nasi tidaklah begitu dasyat mampu memerangkap mereka di dalam permasalahan.

Penyelesaian kepada permasalahan ini tentu sekali harus bermula dengan corak fikir dan cara pandang yang lebih tepat. Yang diperlukan bukan usaha ‘basmi gelandangan’ atas sebab sakit mata melihat mereka, kelompok terpinggir. Tetapi usaha agar saudara-saudara kita itu memperoleh hidup yang lebih bermakna.

Tiada ulasan: