MALAYSIAKINI
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai satu delegasi
Malaysia ke China semalam untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa negara
itu perkembangan terkini mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines
MH370.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu
kenyataan berkata Hamzah akan memaklumkan kepada mereka tentang usaha
terkini di peringkat tiga pihak yang melibatkan China, Australia dan
Malaysia serta sumbangan Malaysia.
Hamzah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Waris, mengetuai delegasi itu,
yang turut dianggotai pengerusi tiga jawatankuasa peringkat menteri
mengenai MH370.
Mereka ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi bagi
Jawatankuasa Teknikal, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim
Bakri (Jawatankuasa Pergerakan Aset) dan Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Jailani Johari (Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi
dan Media).
Kelmarin, jawatankuasa tersebut mengumumkan bahawa usaha mencari pesawat
yang hilang itu akan beralih ke kawasan jauh ke selatan di selatan
Lautan Hindi dan dijangka selesai dilakukan dalam masa lebih kurang
setahun.
Pesawat Boeing 777-200 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal
itu hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan
Terbang Antarabangsa KL.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan