MALAYSIAKINI
Malaysiakini memfailkan permohonan supaya pesuruhjaya kehakiman
Datuk Kamaluddin Md Said menarik diri daripada pendengaran saman Datuk
Seri Najib Razak dan Umno terhadap portal itu di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur.
Permohonan itu difailkan pada Selasa lalu. Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Julai.
Mkini Dotcom, pengendali Malaysiakini, bersama Ketua Pengarang
Kumpulan Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar, mahukan kes itu
didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi dan bukan pesuruhjaya
kehakiman.
Permohonan juga dibuat supaya prosiding semasa ditangguhkan sehingga permohonan itu didengar.
Alasan
permohonan itu ekoran kebimbangan berat sebelah yang nyata dalam
tindakan undang-undang yang diambil oleh Umno melalui setiausaha
kerjanya Datuk Abdul Rauf Yusof dan Najib (kiri) yang juga presiden Umno dan pengerusi parti pemerintah BN.
Defendan berkata, terdapat kebimbangan bahawa pesuruhjaya kehakiman
tidak mendapat ketentuan tenure dalam tempoh perkhidmatan mereka kerana
kedudukan mereka sebagai hakim Mahkamah Tinggi belum disahkan.
“Menurut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim
Mahkamah Tinggi akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat
perdana menteri.
“Pelantikan yang arif sebagai seorang hakim dalam tempoh sebelum pilihan
raya umum akan datang akan bergantung kepada plaintif kedua merestui
pelantikan tersebut,” menurut notis permohonan itu.
Notis
itu juga menyebut, walaupun pesuruhjaya kehakiman dilantik oleh Agong
ia mesti atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan ketua
hakim negara.
Gan (kanan) dalam afidavit sokongannya berkata kebebasan badan kehakiman satu prinsip perlembagaan.
“Kebebasan badan kehakiman merupakan prasyarat terhadap kedaulatan
undang-undang dan jaminan asas perbicaraan yang adil,” katanya.
Najib dan Abdul Rauf memfailkan sama awal bulan ini, ekoran komen pembaca Malaysiakini di ruangan “Yoursay” bulan lalu berkaitan krisis politik di Terengganu pada masa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan