Sabtu, 28 Jun 2014

Kabinet baru yang tiada iniasiatif dasar baru




Oleh Lim Guan Eng 


Pelantikan seorang menteri Kabinet Gerakan, dua menteri Kabinet MCA dan tiga timbalan menteri MCA terang-terang merupakan kejayaan peribadi yang menewaskan kepentingan umum, serta tewasnya prinsip terhadap jawatan politik selain kekuasaan Umno ke atas BN.

Dengan dilantik ke portfolio jawatan kosong dan tidak bermakna sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (kecuali yang dilantik ke Kementerian Pengangkutan), kedua-dua MCA dan Gerakan menunjukkan mereka menikmati pengaruh lebih kecil terhadap dasar BN berbanding Perkasa.

Walaupun MIC mempunyai kurang kerusi Parlimen tujuh kerusi MCA, dua menteri MIC diberikan kementerian yang lebih berpengaruh dan portfolio lebih penting seperti Sumber Asli dan Alam sekitar serta Kesihatan yang masing-masing dijawat oleh Datuk G Palanivel dan Datuk S Subramaniam.


Orang ramai berharap supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurangnya menggantikan beberapa menteri kabinet Umno untuk mengembalikan portfolio tradisional MCA kepada MCA. Bagaimanapun, ia tidak berlaku malah berbanding mengurangkan anggota Kabinet Umno, Najib memilih menambah anggota Kabinet menjadi 35 orang.

Bagi sebuah negara dengan populasi 28 juta, Kabinet yang begitu membusung ini dianggotai 35 menteri penuh dan 27 timbalan menteri. Ini boleh dibandingkan dengan tiga negara lain yang mempunyai populasi lebih besar tetapi hanya mempunyai 23 menteri Kabinet, seperti United Kingdom yang mempunyai 63 juta rakyat, Amerika Syarikat 313 juta rakyat malahan India yang mempunyai 1.1 bilion penduduk.

Atas dasar dan logik apa Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk lebih sedikit berbanding UK, USA dan malah India mempunyai 50% lebih anggota Kabinet seramai 35 orang berbanding 23.

MCA tidak boleh mendakwa mereka diberi jumlah jawatan Kabinet lebih sedikit kerana mereka menang jumlah kerusi yang sedikit pada pilihan raya umum 2013, kerana MCA menang besar dalam pilihan raya umum lalu malah menyelamatkan Umno/BN daripada kekalahan pada pilihan raya 1999; pun begitu bilangan jawatan menteri mereka tidak bertambah malah kekal sebanyak empat jawatan.

Jelas sekali MCA dilayan tidak lebih daripada pengemis politik dan memperoleh apa yang tersisa apabila tidak diberikan anugerah apabila MCA menang besar serta tidak pula dihormati apabila ia tewas.

Lebih malang lagi apabila pelantikan kementerian mereka tidak disertai sebarang inisiatif dasar baru seperti melawan rasuah dengan melakukan pengisytiharan harta secara umum para menteri atau pun mengakhiri tender yang dirunding dan memberi laluan kepada tender terbuka, penginstitusian dana tahunan untuk sekolah Cina dan Tamil selain menumpukan sumber kepolisan untuk membanteras jenayah supaya rakyat bukan sahaja selamat tetapi yakin mereka selamat.

Presiden Gerakan Mah Siew Keong pun tidak berjaya membuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada masyarakat Cina yang disifatkannya sebagai tidak berterima kasih dan tidak pula beliau berhasil mendapatkan universiti tulen untuk Teluk Intan yang menawarkan pelbagai kursus.

Kedua-dua MCA dan Gerakan gagal membuat Umno menghentikan sokongan kepada pelaksanaan hudud, mahupun menghentikan penukaran agama Islam secara satu pihak oleh salah seorang ibu bapa ataupun bertindak terhadap mereka yang rasis dan ekstremis membuli dan mengugut mereka bukan Islam atau Melayu.

Dengan kegagalan menegaskan Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan sekular, kemasukan semula MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet tidak akan membuat sebarang perubahan tetapi hanya menghasilkan sandiwara politik yang hingar membantah di luar tetapi menikus diam di dalam.

Jelas sekali kedua-dua MCA dan Gerakan tidak mengambil pelajaran daripada kekalahan mereka dalam pilihan raya 2013 dan nampaknya tetap akan kembali kepada cara lama, dengan tunduk patuh kepada kekuasaan Umno. – 27 Jun, 2014.

* Penulis adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Tiada ulasan: