Roketkini.com
GEORGE TOWN: DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang kepala lembu berdarah di hadapan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer pagi tadi.
Setiausaha Agung merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan tindakan ini jelas satu cubaan untuk mengganggu keamanan dan keharmonian negeri dan telah menghina seluruh penganut agama Hindu.
“DAP mengutuk tindakan gasar dan tidak bertamadun ini. Ia adalah usaha puak perkauman dan ekstremis untuk menakut-nakutkan penganut agama Hindu, serta mengancam ketenteraman dan keharmonian di Pulau Pinang.
“Tidak berpuas hati dengan Rayer adalah satu perkara, tetapi dengan gunakan cara ini telah menghina satu golongan kaum dan agama. Kerana kita semua tahu ini adalah suci untuk orang Hindu,” katanya yang jelas kecewa dengan kejadian tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat Pulau Pinang agar menunjukkan soladiriti mereka dengan tidak termakan usaha jahat ini.
“Saya menyeru orang ramai agar bertenang, hadapi perkara ini dengan semangat untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan,” katanya lagi.
Rayer yang turut bersama ketika sidang media berkata, beliau bergegas keluar dari rumah ketika dimaklumkan oleh isterinya berhubung apa yang berlaku, kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Saya terus hubungi polis dan Ketua Menteri untuk maklumkan perkara ini.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Ini adalah tindakan biadap oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Menurut rakaman CCTV, ia dilakukan pada jam 5.58 pagi, oleh seorang lelaki bermotosikal yang tidak dapat dikenalpasti kerana seluruh mukanya dilindungi topi keledar.
Dalam pada itu, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak sebagai dalang di belakang tindakan ini.
“Biar saya jelaskan, kami tidak mahu menuduh mana-mana pihak. Walaupun sejarah menunjukkan tindakan sama pernah dibuat puak pro-Umno pada tahun 2009,” katanya, merujuk insiden yang berlaku di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam lima tahun lalu.
Najib perlu bertindak
Beliau juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar dapat mengambil tindakan bagi membendung aksi serta ucapan yang menggalakkan keganasan dan permusuhan.
“Kita minta Najib ambil tindakan agar dapat membendung ucapan atau perbandingan yang nampaknya seperti menggalakkan keganasan, seperti yang beliau sebut sendiri (tentang ISIL).
Apabila Zulkifli Noordin bercakap tentang 13 Mei (secara mengancam), juga tiada tindakan yang diambil,” katanya lagi.
Ketika mengulas kontroversi kalimah Allah baru-baru ini, Zulkifli Noordin mengungkit kemungkinan pengulangan tragedi 13 Mei 1969, manakala Najib sendiri membuat kenyataan menyeru ahli Umno mencontohi keberanian militan ISIL. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan