MALAYSIAKINI
Ibu remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang
dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai baru-baru
ini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua pertuduhan
mengabaikan dan meninggalkan anak tanpa pengawasan.
Lolanopita Sadi, 40, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun
mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim
Datuk Jagjit Singh Bant Singh .
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Flat Taman Semarak, Nilai, antara Januari lepas hingga 21 Jun lepas.
Bagi pertuduhan mengabaikan anaknya itu, wanita itu didakwa mengikut
Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda
hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika
sabit kesalahan.
Pertuduhan meninggalkan anak tanpa pengawasan dibuat mengikut Seksyen
33(c) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara
dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.
Muhammad Firdaus dijumpai dalam keadaan menyayat hati serta kurus
sehingga menampakkan benjolan tulang oleh Jabatan Imigresen Negeri
Sembilan dalam sebuah bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di
Nilai, Sabtu lepas.
Remaja malang itu ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal
Fazri Othman ketika operasi bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas
melakukan pemeriksaan di rumah itu.
Muhammad Firdaus kini ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan pemulihan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan