shahbudindotcom
Baru semalam Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin menyindir mengenai kabinet Najib Razak yang disifatkannya bersaiz XXL yang membuatkan rakyat berhak berharapan besar juga tetapi dibimbangi hanya menghabiskan beras saja.
Dalam penutup tulisan di blognya, beliau menulis, "Oleh kerana Perdana Menteri suka besar, maka kita berhak berharapan besar juga. Jadi harapan XXL kita adalah kabinet XXL Mohd Najib ini akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata.
"Rugilah kita kalau kabinet XXl itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja."
Malangnya hari ini, seorang menteri kanan dalam pentadbiran Najib sudah pun menunjukkan kedudukannya sekadar menghabiskan beras saja. Seluruh rakyat, pengundi Bagan Datoh, ahli UMNO, pengundi bukan ahli UMNO, pengundi tidak berparti, malah budak-budak sekolah patut malu dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi berhubung insiden kepala lembu yang didapati dilemparkan di hadapan rumah ADUN DAP RSN Rayer.
Jauh dari menunjukkan sikap yang sewajarnya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, Zahid sebaliknya menyifatkan kejadian itu adalah harga yang perlu dibayar kerana kecelurapan RSN Rayer sendiri sebelum ini.
RSN Rayer sebelum ini mengundang kemarahan ramai pemimpin dan ahli UMNO berhubung ungkapan "UMNO Celaka" yang dilakukan dalam sidang DUN Pulau Pinang, baru-baru ini.
Meskipun ungkapan Rayer itu tidak seharusnya disokong atau dialu-alukan, tetapi membalasnya dengan melemparkan kepala lembu yang dianggap suci kepada penganut agama Hindu, memanglah agak keterlaluan. Ungkapan kesat dan meyakitkan hati, kalau pun mahu dilawan, seharusnya dibalas dengan ungkapan yang bermaksud serupa juga. Itulah politik.
UMNO dan para peminpinnya juga pernah melemparkan tuduhan dan kata-kata tidak wajar kepada pembangkang seperti DAP komunis, PAS parti syaitan, Pas parti sesat dan sebagainya. Pemimpin pembangkang pula kemudian membalasnya dengan perkataan lain yang juga pedih maksudnya dalam ceramah-ceramah.
Meskipun tidak diketahui siapa yang melakukan lemparan kepala lembu itu, tetapi lebih tidak wajar dan keterlaluan ialah sikap yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi, sebagai pemimpin kanan dalam dalam UMNO dan kerajaan ketika memberi reaksi. Menyifatkan kejadian kejadian meletakkan kepala lembu itu sebagai harga yang perlu dibayar atas keceluparan Rayer, tidak menunjukkan jiwa besarnya sebagai pemimpin dalam kerajaan. Malah ia seperti menyokong dan menyetujui perbuatan melemparkan kepala lembu itu.
Zahid seharusnya sedar beliau adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, bukannya ketua cawangan, macai UMNO atau ahli JKKK tetapi komennya menunjukkan beliau tidak lebih dari itu standardnya.
Memandangkan kepala lembu berkaitan dengan kepercayaan agama lain, sikap "menghabiskan beras" yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi tidak mustahil mengundang serangan balas daripada penganut agama Hindu kepada orang Islam pula. Jika ia berlaku atau berterusan berlaku, tentulah mengundang ketidakharmonian dalam negara yang berbilang kaum dan agama ini.
Nampaknya belum pun lama kebimbangan ramai bahawa saiz kabinet yang besar yang dilakukan oleh Najib ini bukan saja tidak wajar, sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja, ia mula terserlah satu demi satu.
Setelah sekian banyak penonjolan watak menteri yang menghabiskan beras yang sudah pun diketahui dan dibualkan umum sebelum ini, Zahid Hamidi kini merupakan menteri dan pemimpin kanan UMNO yang terbaru menunjukkan perwatakan seperti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan