Wakil calon sibuk menjalankan tugas ketika pemilihan, semalam. Wakil calon sibuk menjalankan tugas ketika pemilihan, semalam.


PETALING JAYA - Proses pemilihan PKR Cabang Subang yang dijalankan di Dewan Serbaguna MBPJ, Seksyen 7, Petaling Jaya berlangsung dengan lancar.

Dalam pemilihan kali ini, PKR Cabang Subang dilihat belajar dari kesilapan lalu dengan menambah baik sistem yang diguna pakai dalam pemilihan bagi mengelak insiden kejadian di Cabang Kota Raja berulang.

Proses pengundian bermula tepat pada jam 12.10 tengah hari dan undian terakhir ditutup sekitar jam 7.10 petang semalam.

Kesemua peti undi kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat PKR di Merchant Square selepas proses pengundian ditutup untuk kiraan jumlah undi.

Sehingga jam 7.10 petang semalam, seramai 780 daripada 9,000 orang ahli berdaftar telah menjalankan kewajipan mereka membuang undi untuk memilih pimpinan baru pada penggal ini.

Mengulas mengenai proses pengundian yang dijalankan, calon Ketua Cabang Subang, R Sivarasa akui berpuas hati dengan sistem yang diguna pakai dalam pemilihan kali ini.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, menerusi pemerhatiannya segala proses pembuangan undi dilihat menggunakan sistem yang teratur serta terkawal.

“Hari ini adalah seumpama sambutan pesta demokrasi di peringkat akar umbi dan saya benar-benar berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sivarasa berkata, pihaknya sememangnya telah menjangkakan jumlah bilangan pengundi yang keluar mengundi akan berkurangan berikutan ramai penduduk sedang rancak membuat persiapan menyambut Ramadan.

Namun, beliau akan menerima segala keputusan pemilihan dengan hati terbuka.

“Segala kelemahan pada pemilihan sebelum ini telah ditambah baik dan saya terima dengan terbuka sekiranya tidak terpilih kali ini,” katanya.

Sebelum ini, proses pemilihan cabang Subang terpaksa dibatalkan ekoran mendapat bantahan daripada sebilangan pihak disebabkan oleh kelemahan sistem pengurusan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut turun padang sekitar jam 3 petang bagi meninjau perjalanan proses pemilihan yang dijalankan itu.