Ahad, 29 Jun 2014

178 pasar raya sertai kempen penurunan harga setakat ini, kata menteri

THE MALAYSIAN INSIDER


Kempen penurunan harga yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 29 Januari lepas, menarik 178 pasar raya dengan 1,089 cawangan di seluruh negara setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek (gambar) berkata kempen itu yang bertujuan meringankan beban yang ditanggung pengguna akibat kenaikan harga barangan melibatkan sehingga 4,000 produk.

Kempen itu menawarkan penurunan harga antara 10% dan 70%, katanya kepada pemberita selepas melawat pasar raya Tesco Seremban 2 hari ini.

Mengenai skim kawalan harga sempena Aidilfitri kali ini, Hasan mengingatkan peniaga skim tersebut akan berkuat kuasa dari 20 Julai hingga 5 Ogos dan membabitkan 18 jenis barangan.

Peniaga yang gagal mematuhi skim ini akan dikenakan tindakan tegas, katanya. Antara barangan yang dimasukkan di bawah skim itu ialah ayam hidup, ayam standard, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam, cili merah, kelapa dan bawang merah serta ikan kembung. – Bernama

Tiada ulasan: