SHAH ALAM: Mana-mana ahli PKR yang tidak
berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu perlu membuat aduan
kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) terlebih dahulu, bukannya
terus membawanya ke mahkamah.
Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, perkara itu boleh
dibincangkan dan diselesaikan di peringkat parti, dan pihaknya mengambil
perhatian sekiranya ia disuarakan.
Terdahulu seorang ahli PKR, Nasharudin Md Isa, 51, dilaporkan
memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan keputusan
Pemilihan PKR 2014, Cabang Ampang.
"(Kalau) dia (Nasharuddin) rasa saya perlu ke mahkamah kerana tak telus, jadi saya akan (beri kerjasama) menjawab di mahkamah.
"Kalau dia nak suruh saya lihat balik
keputusan itu, dia patut datang kepada saya. Kita boleh bincang. Apa
masalah dia dan apa yang dia tak setuju. Ini dia tak jumpa saya dan dia
nak bawa ke mahkamah. Jadi kita tunggu di mahkamah," katanya.
Tuntutan saman oleh Nasharuddin dibuat melalui firma guaman, Tetuan
Partick Dass & Co. dengan menamakan Johari sebagai defendan pertama,
JPP PKR sebagai defendan kedua manakala calon Ketua Cabang PKR Ampang,
Zuraida Kamaruddin sebagai defendan ketiga.
Zuraida telah diisytiharkan memenangi jawatan tersebut oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun.
Ahli PKR berkenaan berkata beliau membawa perkara tersebut ke mahkamah
setelah dua bantahannya terhadap keputusan pemilihan cabang itu kepada
jawatankuasa berkenaan tidak diambil tindakan lanjut.
Johari bagaimanapun menafikan beliau menerima aduan dan bantahan seperti yang didakwa Nasharudin.
"Tak ada. Yang saya ingat, tak ada (terima bantahan). Kalau
dia tak puas hati, dia ada jawatankuasa rayuan yang dipengerusikan
Datuk Kamarul. Anda tak rayu, kemudian terus ke mahkamah, kita ucapkan
'Good luck' kepadanya," katanya lagi.
Tambah Johari, JPP tidak akan melayan tuntutan ahli PKR berkenaan yang
mendesak agar proses pemilihan PKR Cabang Ampang yang diadakan 11 Mei
lalu dan keputusan pemilihan yang diumumkan pada 11 Jun lalu agar
dibatalkan.
"Apa lokus-standi dia nak suruh saya batalkan. Apa masalah dia? Dia kena beri alasan.. kalau begitu, sesiapa yang kalah saja akan bawa ke mahkamah. Kalau begitu, jenuh lah.
"(Keputusan) dikekalkan.. kecuali kalau dia boleh buktikan (ada penipuan). Itu pun dia tak kemukakan," ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan lembaga disiplin parti akan mengambil
tindakan terhadap ahli PKR berkenaan kerana membawa tindakannya
bertentangan dengan Fasal 44.1 Perlembagaan PKR.
Fasal itu menyatakan 'Tiada seorang anggota yang boleh membawa apa-apa
perkara parti ke mahkamah. Sekiranya berbuat demikian, maka
keanggotannya tergugur secara automatik'.
Mengulas tingkas perkara itu, Johari tidak menolak keahlian Nasharuddin dalam PKR kini sudah terlucut.
"Iya mesti..Kita ada peraturan dan perlembagaan," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan