Ahad, 29 Jun 2014

Buat aduan pada JPP jika tidak puas hati, ujar Johari Abdul

 Oleh Shuhainiza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Mana-mana ahli PKR yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu perlu membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) terlebih dahulu, bukannya terus membawanya ke mahkamah. 
 
Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, perkara itu boleh dibincangkan dan diselesaikan di peringkat parti, dan pihaknya mengambil perhatian sekiranya ia disuarakan. 
   
Terdahulu seorang ahli PKR, Nasharudin Md Isa, 51, dilaporkan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan keputusan Pemilihan PKR 2014, Cabang Ampang.
 
"(Kalau) dia (Nasharuddin) rasa saya perlu ke mahkamah kerana tak telus, jadi saya akan (beri kerjasama) menjawab di mahkamah.
 
"Kalau dia nak suruh saya lihat balik keputusan itu, dia patut datang kepada saya. Kita boleh bincang. Apa masalah dia dan apa yang dia tak setuju. Ini dia tak jumpa saya dan dia nak bawa ke mahkamah. Jadi kita tunggu di mahkamah," katanya. 
 
Tuntutan saman oleh Nasharuddin dibuat  melalui firma guaman, Tetuan Partick Dass & Co. dengan menamakan Johari sebagai defendan pertama, JPP PKR sebagai defendan kedua manakala calon Ketua Cabang PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai defendan ketiga.
 
Zuraida telah diisytiharkan memenangi jawatan tersebut oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun.
 
Ahli PKR berkenaan berkata beliau membawa perkara tersebut ke mahkamah setelah dua bantahannya terhadap keputusan pemilihan cabang itu kepada jawatankuasa berkenaan tidak diambil tindakan lanjut.
 
Johari bagaimanapun menafikan beliau menerima aduan dan bantahan seperti yang didakwa Nasharudin. 
 
"Tak ada. Yang saya ingat, tak ada (terima bantahan). Kalau dia tak puas hati, dia ada jawatankuasa rayuan yang dipengerusikan Datuk Kamarul. Anda tak rayu, kemudian terus ke mahkamah, kita ucapkan 'Good luck' kepadanya," katanya lagi.
   
Tambah Johari, JPP tidak akan melayan tuntutan ahli PKR berkenaan yang mendesak agar proses pemilihan PKR Cabang Ampang yang diadakan 11 Mei lalu dan keputusan pemilihan yang diumumkan pada 11 Jun lalu agar dibatalkan.
 
"Apa lokus-standi dia nak suruh saya batalkan. Apa masalah dia? Dia kena beri alasan.. kalau begitu, sesiapa yang kalah saja akan bawa ke mahkamah. Kalau begitu, jenuh lah.
 
"(Keputusan) dikekalkan.. kecuali kalau dia boleh buktikan (ada penipuan). Itu pun dia tak kemukakan," ujarnya. 
 
Beliau dalam pada itu memaklumkan lembaga disiplin parti akan mengambil tindakan terhadap ahli PKR berkenaan kerana membawa tindakannya bertentangan dengan Fasal 44.1 Perlembagaan PKR.
 
Fasal itu menyatakan 'Tiada seorang anggota yang boleh membawa apa-apa perkara parti ke mahkamah. Sekiranya berbuat demikian, maka keanggotannya tergugur secara automatik'.
 
Mengulas tingkas perkara itu, Johari tidak menolak keahlian Nasharuddin dalam PKR kini sudah terlucut.
 
"Iya mesti..Kita ada peraturan dan perlembagaan," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.