Sabtu, 4 Januari 2014

Wartawan redah hujan tuntut kebebasan media

MALAYSIA KINI





Demi kebebasan media, sekumpulan wartawan, aktivis dan wakil media meredah hujan petang ini dan berhimpun untuk menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan mingguan The Heat kembali beroperasi.


Dinamakan 'Protes Pensel Merah', himpunan selama kira-kira sejam di Dataran Medan Pasar berhampiran Dataran Merdeka itu berjaya mengumpulkan kira-kira 200 peserta.

Ia dianjurkan Gerakan Media Marah (Geramm) - perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis yang ditubuhkan susulan penggantungan mingguan The Heat.

Dalam perhimpunan petang tadi, peserta himpunan itu mematahkan pensel merah sebagai tanda simbolik tekanan ke atas kebebasan media.

"Pensel merah ini simbol wartawan yang cedera, dikawal oleh budaya, dan dikawal oleh penguasa dalam masyarakat.

"Dengarkan 'patahan' itu, bagaimana sengsaranya wartawan dan media apabila media 'dipatahkan', dan bagaimana pengamal media diganasi sewaktu himpunan BERSIH pada perhimpunan tahun 2012," kata jurucakap Geramm, Fathi Aris Omar sewaktu upacara mematahkan pensel itu.

Turut hadir memberikan sokongan kepada Protes Pensel Merah pada petang tadi adalah bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan aktivis masyarakat, Datuk Marina Mahathir.

"Kempen Pensel Merah ini penting kerana kita sepatutnya sudah lama 'menggores' permit penerbitan dengan warna merah.

"Idea pelesenan penerbitan ini mencabul kebebasan bersuara dan kebebasan media," kata Ambiga dalam ucapannya.

Himpunan kemudian diteruskan dengan deklamasi sajak 'Peringatan' nukilan aktivis Indonesia, Wiji Thukul oleh aktivis sosial, Rahmat Harun.

Rahmat mencuri kesempatan meniup semangat hadirin dengan mengulang-ulang bait terakhir sajak itu: "Dituduh subversif dan mengganggu keamanan, Maka hanya ada satu kata: lawan!" sebelum hadirin meredah hujan berarak ke Jalan Tun Perak.

Jalan Tun Perak adalah lokasi utama insiden wartawan dikasari pasukan polis sewaktu himpunan BERSIH 3 pada tahun lalu.

Bekas wartawan The Sun, Radzi Razak yang retak rahangnya akibat dipukul polis tahun lalu berucap apabila peserta himpunan berhenti dan berkumpul berhampiran stesen LRT Masjid Jamek.

"Pada hari ini kita akan mengingati hari wartawan mula bersatu.

"Kita semua bersatu dan kita lawan mereka yg cuba halang kita dari buat kerja kita," kata Radzi yang kini bertugas di Malaysiakini.

Himpunan petang tadi ditangguhkan dengan deklamasi puisi 'Aku Sebatang Pensel' oleh penyajak, Pyanhabib.

Tiada ulasan: