SHAH ALAM – Umno Cheras melahirkan kekesalan atas tindakan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir ekoran kehadirannya berhimpun bagi menunjukkan solidariti terhadap penganut Kristian di pekarangan Gereja Our Lady of Lourdes, Klang, Ahad lalu.
Sebuah portal melaporkan, Marina selain membawa sejambak bunga turut mempertahankan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald meski pun pihak berkuasa agama dan mahkamah menghalang tindakan tersebut.
Menurut Setiausaha Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah, Marina tidak sepatutnya berbuat demikian memandangkan kedudukan beliau selaku anak kepada bekas Perdana Menteri.
“Tindakan Marina berbuat demikian dikhuatiri akan merosakkan nama baik dan kredibiliti bapanya selaku negarawan dan ikon kepada pembangunan negara dan rakyat.
“Umno Bahagian Cheras amat kesal dengan tindakan Marina memihak kepada penganut agama Kristian ketika mana sebilangan umat Islam berhimpun di beberapa lokasi membantah penggunaan nama ALLAH,” katanya yang dipetik dari blog Umno Cheras.
Sebelum ini, Marina membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang merampas kira-kira 300 Bible versi bahasa Melayu dan iban di Persatuan Bible Malaysia.
Mengulas lanjut, Syed Mehdhar berkata, anak bekas Perdana Menteri itu tidak sewajarnya berbuat demikian kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi buruk orang Islam terhadap beliau.
“Umno Bahagian Cheras bagaimanapun berharap isu Marina di gereja berkenaan tidak dimanipulasikan pihak tertentu untuk memburuk-burukkan nama baik Tun Mahathir,” ujarnya.
“Marina melakukannya atas sifat peribadi, maka menjadi tanggungjawab beliau untuk berdepan dengan kemarahan umat Islam di negara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan