Pastinya bukan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang memulakan desakan agar ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama pengerusinya, Abdul Aziz Yusof meletakkan jawatan.
Tuntutan sama telah dikemukakan sejak lama oleh pemimpin dan aktivis oposisi, juga NGO yang prihatin dengan kepincangan perjalanan demokrasi di negara kita. Namun begitu, ia hampir tidak menjadi berita lagi.
Pakatan Rakyat sentiasa serius dengan isu ketempangan pilihan raya, terutama sikap SPR yang bertindak seolah-olah "satu lagi komponen parti dalam BN". Ahli-ahli SPR seperti menjadi agen parti pemerintah dan memudahkan Umno-BN mengalahkan seteru politik mereka dalam setiap kali pilihan raya.
Selain itu, NGO seperti Bersih misalnya, berulang kali, sama ada sebelum PRU13 mahupun sebelumnya, membuat desakan agar seluruh ahli-ahli SPR meletakkan jawatan serta-merta bagi membolehkan satu jawatankuasa baru yang memenuhi aspirasi rakyat dapat dibentuk.
Pengerusi baru Bersih 2.0, Marina Chin menuntut agar semua ahli SPR dipecat kerana masyarakat awam sudah kehilangan keyakinan kepada mereka. Katanya, petisyen akan dilancar selepas ini untuk membuat tuntutan itu dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, apabila kejengkelan terhadap badan pengendali pilihan raya itu turut disuarakan oleh pemimpin kerajaan seperti Saifudin, seperti ada sedikit kejutan sehingga Pengerusi SPR, Abd Aziz mengajak pemimpin Umno yang tidak berpuas hati berbincang secara tertutup.
"Seperti yang sedia maklum badan ini ditubuhkan sebagai suruhanjaya bebas untuk melaksanakan tiga tanggungawab utama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia bukan untuk membantu mana-mana parti politik menang dalam pilihan raya.
"Saya harap beliau (Saifuddin) bersabar dan saya sedia berbincang untuk mengetahui fakta dakwaan tersebut dan beliau boleh berjumpa saya di SPR," kata Aziz.
Saifuddin dalam satu forum, 13 Januari lalu, berkata, Pengerusi SPR yang bebas sangat diperlukan ketika keyakinan awam terhadapnya semakin menurun. "Kita memerlukan sesaorang yang tekun, bebas dan seorang yang tidak bercakap bagi pihak BN. Awak tidak membantu BN sebenarnya," kata Saifudin merujuk kepada ahli SPR yang bercakap seolah-olah mewakili BN.
Saya sendiri, melalui tulisan dalam Harakah dan Siasah, sebaik selesai Pilihan Raya Umum Mac 2004 - yang menyaksikan sikap memihak paling menjolok mata SPR kepada BN - menimbulkan isu "padang sama rata" secara berterusan, di samping turut mempersoalkan "sikap sambil lewa" parti-parti pembangkang ketika itu.
Dalam satu pertemuan di Hotel Vistana, pada September 2004, yang dihadiri antara lain, pemimpin kanan PAS, Mohamad Sabu, saya meluahkan rasa kecewa dan aneh dengan aksi pasif oposisi yang rela "leher mereka disembelih SPR".
Sebelum itu, menjelang PRU 1999, seorang bekas jeneral tentera, dalam forum anjuran Barisan Alternatif di Hotel Federal, Kuala Lumpur, melahirkan rasa hairan mengapa parti-parti pembangkang tidak serius menangani isu pengundi pos, walhal semua maklum Umno-BN mendapat manfaat besar daripada sistem yang mudah untuk dimanipulasi itu.
Seminggu selepas PRU 2004, yang mengejutkan PAS dengan kekalahan Terengganu dan kehilangan kerusi Parlimen di Kedah, saya menulis artikel bertajuk "Mimpikah kita mengharapkan pilihan raya ini bebas dan adil?"
Dalam tulisan itu saya, antara lain, menekankan: "Melihat tingkah laku (Pengerusi SPR) Rashid (Abd Rahman) terutama sikapnya yang suka bertelagah dan berkonfrontasi dengan pembangkang, saya langsung tidak mengharapkan apa-apa yang positif dari SPR kali ini.
"Walhal kedudukan Rashid sebagai pengerusi SPR adalah tertakluk kepada keyakinan rakyat kepadanya. Maknanya, jika rakyat tidak lagi konfiden kepada Rashid, beliau boleh ditarik turun.
"Sila rujuk Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam."
Bukan soal kekalahan PAS atau BA yang menarik minat saya tetapi isu pengendalian pilihan raya yang begitu buruk dan hodoh, terutama proses persempadanan semula (gerry mandering) kawasan Parlimen, yang secara nyata bertujuan untuk mengalahkan pembangkang.
Difahamkan Setiausaha SPR ketika itu, Wan Ahmad Wan Omar menjadi dalang dan pencatur sebenar, bagi memberi kemenangan mudah kepada Umno-BN. "Pengerusi SPR sendiri, Rashid mengakui tugas strategik itu dimainkan oleh Wan Ahmad," kata sumber yang rapat dengan SPR.
Bagaimanapun, Rashid, semasa mesyuarat agung Perkasa Wilayah Persekutuan, November 2013, mengakui bahawa dia sendiri mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan Melayu (baca: Umno-BN) akan terus berkuasa. Iaitu melalui tiga kali proses persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa beliau menjadi Pengerusi SPR.
Tidak puas hati dengan artikel tersebut, menyusul tulisan saya, pada April 2004, bertajuk "Tuntut pilihan raya adil: Jangan hangat-hangat tahi ayam,"
Saya meneruskan leteran, dan saya masih ingat, turut didorong rasa marah (terhadap SPR dan BN) dan juga kesal (dengan pembangkang): "Bagi saya, apabila kita membincangkan soal kepincangan atau pencabulan terhadap pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil, ia tidak seharusnya terbatas hanya selepas Parlimen atau Dun dibubar.
"Perbahasan itu harus dibuat dalam ruang lingkup menyeluruh, misalnya merongkai segala sekatan ke atas kebebasan bersuara, bertanding di atas padang yang sama rata, jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerajaan sementara, memastikan tiada manipulasi pemerintah terhadap daftar pemilih dan perjalanan kempen yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding.
"Pembangkang tidak dikalahkan hanya dengan kempen jahat dan tidak beretika BN selama seminggu itu. Proses mengalahkan pembangkang yang mencatat prestasi membanggakan pada pilihan raya ke-11 sudah bermula pada awal Disember 1999, sebaik selesai PRU1999."
Selain itu, daripada sekian banyak tulisan mengenai SPR, saya pernah menghuraikan "Peranan proaktif dan strategik Agong", pada Julai 2011, yang memperihalkan kedudukan penting baginda dalam amalan demokrasi kita, khususnya mempastikan semua anggota SPR mendapat kepercayaan awam.
Soalnya, apakah jika tidak lagi menepati kriteria itu, maka Agong tidak boleh menamatkan khidmat mereka dan membiarkan rakyat terus curiga dengan kemampuan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil dan berintegriti.
Saya juga menyanggah Timbalan Pengerusi SPR, dengan tulisan "Hujah untuk pecat Wan Ahmad dari SPR," Jun 2013.dan sebelumnya, "Sokong Pengerusi SPR letak jawatan," April 2012.
Secara peribadi - walaupun sebenarnya tanpa dirancang - saya memberanikan diri melakukan protes pertama secara terbuka, dengan mengoyak kertas undi, pada jam 3.15 petang, 8 Mac 2008, di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Pulau Timbul, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah dengan disaksikan oleh wakil-wakil parti PAS, BN dan KeADILan termasuk beberapa petugas SPR dan Ketua Tempat Undi.
Pada malamnya, selepas diumumkan PAS menerajui kerajaan negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat, Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak (yang kemudiannya dilantik menteri besar), yang saya temui di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, menegur aksi protes saya itu.
"Kalaulah Dun Bukit Kayu Hitam tempat anta mengundi itu kalah satu undi, antalah bertanggungjawab," katanya sambil ketawa. Kawasan Bukit Kayu Hitam dan Parlimen Kubang Pasu merupakan kubu kuat Umno, dengan kemenangan majoriti besar.
Justeru, ketika SPR sibuk dengan proses proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, amat tepat sekali isu keyakinan awam terhadap badan yang sepatutnya bebas itu ditimbulkan semula.
Pengerusi SPR, Aziz berkata, Pakatan Rakyat perlu menyokong persempadanan semula kerana ia untuk kebaikan semua pihak termasuk mereka. Waduh, siapa boleh mempercayainya lagi selepas "parti-parti pembangkang disembelih" pada 2003 dulu.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Pakatan tidak akan menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya itu kalau ia dikendalikan oleh ahli SPR yang ada.
Bersih 2.0 pula menuntut dihentikan proses tersebut sehingga masalah berkaitan, misalnya membersihkan senarai pengundi dan perlantikan keanggotaan SPR yang baru, diselesaikan.
II.
Kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini cukup menarik, khususnya bagi orang media seperti saya. Dana awam yang mengongkosi RTM misalnya telah disalahgunakan apabila ia diperkakaskan semahunya untuk propaganda pemerintah.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam wawancara khas sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-83 menegaskan: "Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau televisyen.
"Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti tiap-tiap tahun dan ada kalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau televisyen dengan rakyat sendiri?
"Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah, begitu juga rakyat dengan kerajaan."
Kata kuncinya, selama 23 tahun menjadi MB, Tok Guru yang mendapat sokongan majoriti (dan dikasihi) rakyat dihalang daripada berhubung langsung melalui radio dan TV, yang dibiayai dana awam, dengan warga Kelantan sendiri.
Sesuatu yang dilihat aneh di negara demokrasi lain tetapi sudah dianggap biasa di Malaysia. Itulah juga yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor (Khalid Ibrahim), Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) dan bekas MB Kedah (Ustaz Azizan Abd Razak) dan Perak (Nizar Jamaluddin). Hebat, 'kan negara tercinta ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan