shahbudindotcom
Selepas Presiden Perbadanan Putrajaya, Aseh Che Mat memohon maaf berhubung rancangan pembukaan pusat hiburan dan restoran Hard Rock Cafe di Putrajaya sehingga membangkitkan kemarahan ramai dan kemudian pengurusan Hard Rock pula mengumumkan tiada perancangan untuk membuka cawangan baru, semua pihak menyangka isu itu telah berakhir dan penduduk Putrajaya boleh meneruskan kehidupan malam mereka dengan aman dan tenteram.
Rupa-rupanya ia belum berakhir. Ini berikutan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan Hard Rock boleh membuka cawangannya di Putrajaya jika memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidangkan arak serta sajian hiburan yang mengghairahkan.
Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mencadangkan jika Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya, mereka boleh menyajikan hiburan dan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock yang biasa dipersembahkan di mana-mana cawangannnya di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, Tengku Adnan juga menpertahankan Aseh Che Mat yang menurutnya berniat baik mahu menarik pelabur menanam modal di Putrajaya.
Apa yang tergambar daripada kenyataan Tengku Adnan ini ialah beliau nampaknya begitu teringin mahu melihat Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya sehingga sanggup mencadangkan sesuatu yang mustahil iaitu persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock tanpa batasan.
Di ketika Aseh turut menjelaskan tiada cadangan dan pengurusan Hard Rock pula menyatakan tiada perancangan ke arah itu, Tengku Adnan seperti membuka laluan semula mengenainya.
Cadangan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock bukan saja ternampak lucu, tidak masuk akal dan menyerlahkan keghairahan tanpa sempadan Tengku Adnan terhadap Hard Rock, malah dalam masa yang sama menyingkap kewibawaan dan tahap pemikirannnya yang sebenar sebagai seorang pemimpin.
Dalam erti kata lain, bertambahlah seorang lagi "menteri cap ayam" dalam kabinet Najib sekarang ini.
Kalaulah benar mahu mengadakan persembahan nasyid, sebagai menteri dan Ahli Parlimen, beliau tidak perlu menunggu pembukaan Hard Rock untuk melakukannya. Soalnya sudah berapa banyak persembahan nasyid yang beliau telah anjurkan selama ini dan sudah adakah restoran atau tempat hiburan yang mengadakan persembahan nasyid di Putrajaya?
Janganlah cuba untuk menunjuk-nunjuk lagak Islamik dalam isu Hard Rock. Lagi pula tidak mungkin Hard Rock bersedia membuka cawangannya jika tanpa minuman keras, alunan muzik keras, tarian terkinja-kinja dan pergaulan bebas yang memang menjadi imejnya di seluruh dunia.
Hard Rock tanpa semua itu adalah umpama kedai mamak tanpa teh tarik dan kari atau restoran Arab tanpa hidangan nasi beriani dan shisa. Mustahil dan tidak masuk akal.
Jika benar Tengku Adnan begitu ingin melihat persembahan nasyid di Hard Rock untuk menunjukkan Islamiknya beliau sebagai pemipin, beliau sebenarnya boleh memulakan dengan memberi arahan mengenai perkara tersebut di premis Hard Rock sedia ada di KL atau di lain-lain pusat hiburan yang bersepah di Jalan P Ramlee dan Bukit Bintang.
Tidak pasti apakah yang begitu mengujakan mengenai Hard Rock ini di mata Tengku Adnan. Mungkinkah beliau merasakan kejayaan membuka cawangannya di Putrajaya merupakan pencapaian gemilangnya sebagai menteri dan Ahli Parlimen Putrajaya? Atau mungkinkan beliau merasakan dengan adanya Hard Rock akan menambahkan lagi tarikan Putrajaya di kalangan pelancong asing?
Bagaimanapun di mata rakyat, kenyataan Tengku Adnan itu lebih menggambakan keterujaan dan keghairahannya untuk terus membuka cawangan Hard Rock di Putrajaya dan seolah-olah akan mati kempunan atau mati dalam keadaan mata tak terpejam jika gagal berbuat demikian.
Di sisi lain pula, ia menggambarkan inilah level atau tahap kecedikan yang ada di kalangan menteri-menteri yang ada dalam kabinet Najib. Asal bercakap dan membuka mulut saja, akan terserlah kerendahan tahap pemikiran dan tiada wibawanya sebagai pemimpin (sebenarnya istilah yang tepat ialah bodoh, tapi tak sampai hati pulak).
Beliau kini menjadi bahan persendaan baru di kalangan rakyat, setelah beberapa menteri turut diperlakukan sedemikian dan dipertikaikan sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan